Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali bersama barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan menjulang Calon PH, Dr. S. Streram pada Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2019.

SEREMBAN – Rakyat dan pengundi Rantau diminta supaya menolak Datuk Seri Mohamad Hasan dan mengangkat Dr S. Streram sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil 13 April ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengundi DUN Rantau tidak sukar untuk membuat pilihan dalam PRK kali ini kerana terdapat dua pilihan sahaja.

Sama ada mahu memilih pemimpin yang memahami masalah rakyat Malaysia keseluruhannya atau menolak pemimpin yang membawa pendirian kaum dan agama yang sempit.

“Saya faham pengundi Rantau sudah melihat bagaimana Tok Mad menjadi wakil rakyat kawasan (Rantau) ini dan menjadi Menteri Besar sebelum dalam PRU lalu.

“Rakyat Negeri Sembilan sendiri menolak Tok Mad dan mengangkat PH sebagai kerajaan baharu di negeri ini.

“Kalau kita boleh buat keputusan baik di peringkat negara dan keputusan terbaik di peringkat Negeri Sembilan, maka dalam PRK ini kita buat satu lagi keputusan terbaik menolak Tok Mad dan angkat Streram sebagai wakil rakyat anda.

“Tuan-tuan kita tak pernah menang, kalau Tok Mad sudah pegang selama 3 penggal, maka berilah peluang kepada Pakatan Harapan kali ini,” katanya ketika berucap di hadapan kira kira 200 pengundi di hadapan Pasar Lama Taman Pasir Mas Pekan Rantau malam tadi.

Turut hadir Ketua Pembangkang DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Thian Chua dan calon PH, DR. S. Streram.

Beliau meluahkan kegembiraannya kerana Kerajaan PH telah membentuk kerajaan di Negeri Sembilan dan mahu kerajaan negeri terus kuat dan stabil kerana terdapat banyak kerja yang perlu dilaksanakan demi manfaat rakyat.

Oleh demikian, beliau menegaskan walaupun Rantau hanya mempunyai satu kerusi, tetapi ia penting kerana kerusi DUN Rantau akan memperkukuhkan kedudukan rakyat Negeri Sembilan untuk Pakatan Harapan melaksanakan tugas-tugasnya.

Katanya, kerajaan baharu Pakatan Harapan sangat komited untuk melunaskan janji janji dalam manifesto yang dijanjikan kepada rakyat sebelum mengambil alih Putrajaya.

“Bagaimanapun, oleh kerana hutang negara, penyelewengan terlalu besar maka kita ambil tindakan secara teratur tetapi saya nak beri jaminan kepada orang Negeri Sembilan dan Rantau, dalam rangka kerja PH dan rangka di peringkat Persekutuan semua janji ini pastinya kita akan tuniakan.

“Saya yakin ekonomi akan pulih dibawah Tun Dr Mahathir dan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Beliau turut melihat kehadiran pengundi Melayu dan India walaupun majoritinya Cina dalam ceramah malam tadi menunjukkan pengundi Rantau meletakkan harapan cukup besar kepada PH unutk melaksanakan agenda-agenda yang peduli rakyat.

“Saya harap Negeri Sembilan akan mencatat satu lagi sejarah dalam PRK kali ini, yang mana orang Rantau, rakyat Rantau, pengundi Rantau, berani tolak Presiden UMNO dalam PRK ini, boleh atau tidak..berani atau tidak, bersedia atau tidak,” soal beliau ke arah penduduk Rantau diiringi tepukan gemuruh.- MalaysiaGazette