Masjid Votaniskos di Athen.
Masjid Votaniskos di Athen.

ATHEN – Masjid Votaniskos di Athen akan membuka pintunya kepada jemaah dalam tempoh beberapa minggu selepas pembinaannya dibantah gereja ortodoks dan masyarakat tempatan.

Timbalan Menteri Luar, Marcos Bolaris mengesahkan masjid yang dibiayai kerajaan Greece pada kos €900,000 itu akan dibuka tidak lama lagi.

Permohonan untuk membina masjid itu diperdebatkan dan terhenti sejak 2000 dan pembinaannya bermula pada 2016, selepas polis meleraikan peserta bantahan di tapak pembinaan.

Sehingga kini Athen kekal hanya ibu negara di Eropah yang tidak mempunyai masjid.

Ketika masjid era Uthmaniyah masih teguh berdiri di bandar raya itu, namun ia hanya sebagai tugu arkeologi dan bukannya rumah ibadah.

Selepas hampir 400 tahun penaklukan empayar Uthmaniyah, kerajaan Greece tidak meluluskan pembinaan masjid baharu walaupun negara itu merdeka pada 1830.

Penduduk beragama Islam dianggar berjumlah antara 100,000 hingga 500,000 orang, jika diambil kira pendatang haram dan pelarian.

Sehingga kini pendududk Islam terpaksa solat di ruang tamu dan ruang bawah tanah di bandar itu.

Bantahan kewujudan masjid itu telah meningkat.

Pemimpin Parti Golden Dawn yang berhaluan kanan, Nikolaos Michaloliakos, menentang cadangan itu di parlimen pada 2016 dengan menggelar masjid sebagai ‘candi perhambaan’.

Michaloliakos berkata: “Kita balik kepada penaklukan Turki,”.

Ketika Parti Golden Dawn memenuhi ruang politik berhaluan kanan di Greece, ramai penduduk negara itu masih lagi mengaitkan Islam dengan penaklukan.

Kaji selidik yang dilakukan pada 2017 mendapati hanya sepertiga penduduk negara itu melihat istilah ‘Muslim’ secara positif manakala 28 peratus melihat istilah itu sebagai ‘Turks’ secara positif yang menggambarkan konsep Islam yang tidak dapat dipisahkan dengan empayar Uthmaniyah.

Gereja ortodoks di negara itu, yang merangkumi 98 peratus penduduknya, telah menentang pembinaan masjid tersebut.

Pemimpin gereja di Greece, Archbishop Ieronymos II, memberi amaran bahawa pembinaan masjid itu merupakan sebahagian daripada rancangan menghapuskan pengaruh Kristian di negara itu dan menggelar pembinaannya sebagai tempat melahirkan puak radikal.

SEmentara itu, terdapat umat Islam Greece mengadu bahawa masjid tersebut terlalu kecil.

Presiden Persatuan Muslim Greece, Naim Elghandour berkata, masjid itu boleh menampung 300 jemaah lelaki dan 50 jemaah perempuan apabila dibuka kelak. – Agensi