Penerbit dan pelakon Datuk Hans Isaac.
Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Gerald Hans Isaac sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.

KMM dalam satu kenyataan berkata, Menterinya Gobind Singh Deo berharap supaya ahli lembaga Finas memberikan kerjasama yang penuh kepada Hans dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.

“Kementerian berharap pengerusi yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha Finas bagi membangunkan industri ini,” katanya.

KKMM dalam kenyataannya berkata, Hans mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman dan terkenal sebagai seorang pelakon, penerbit dan pengarah filem.

Beliau juga pernah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan dan Pengarah Urusan, Social 360 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terbabit dalam bidang keselamatan dan insurans.

Hans juga pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat Finas dan Ahli Lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.

Pelantikan Hans berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 itu menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi FINAS selama lebih empat bulan yang lalu.

KKMM turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Samsuni Mohd Nor untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan itu. – MalaysiaGazette