Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bn Command Centre, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2019.

RANTAU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu spekulasi tentang dirinya yang dikaitkan sebagai bakal Perdana Menteri dihentikan segera.

Ujar calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu, dakwaan seumpama itu akan mempercepatkan usaha untuk ‘membunuh karier politik’ beliau.

“Tidak ada (dakwaan bakal PM) itu cerita orang, itu cerita ceramah-ceramah sebagai lauk tambah, jangan panggil saya (bakal) PM…..orang akan ‘bunuh’ saya cepat,” katanya sambil disambut gelak tawa wartawan.

Ditanya samada beliau mendapat tekanan terhadap spekulasi terbabit jawabnya, ia akan menimbulkan spekulasi tidak sihat terhadapnya.

“Saya tak dengar ceramah mereka, kalau saya ada di situ saya suruh dia diam, jangan buat macam itu, ia tak baik menyebabkan spekulasi-spekulasi yang tidak sihat, bukan sahaja orang luar, orang dalam akan siap pisau tajam-tajam akan tikam saya,” katanya.

Banyak pihak daripada BN antaranya bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam meramalkan kemenangan BN pada PRK Rantau akan menjadi titik permulaan kepada peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah beliau juga menjangkakan Mohamad bakal dipilih sebagai Presiden UMNO seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya BN berkuasa semula.

“Dalam politik sentiasa ada perubahan. Kerajaan hari ini mungkin ditukar esok. Maka peluang BN kembali jadi kerajaan sangat cerah.

“Sekiranya BN menang (PRU15), Tok Mat yang kini pemangku Presiden UMNO yang kemungkinan akan dipilih sebagai presiden UMNO seterusnya berpeluang diangkat sebagai perdana menteri,” katanya pada ceramah kelompok anjuran MIC di Kampung Baru Segga, Rantau semalam. – MalaysiaGazette