Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil diiringi Ketua Setiausaha Kemterian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim (kiri) dan Laksamana Maritim, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar (kanan) ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 APRIL 2019

SHAH ALAM – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan sekurang-kurang RM550 juta untuk menyelenggara aset-aset khususnya kapal dan bot usang bagi melancarkan operasi di laut dengan lebih berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasssin berkata, penyelenggaraan dan baik pulih aset-aset APMM perlu dilakukan secara berterusan agar jangka hayat aset sedia ada mampu bertahan.

“Peruntukan untuk penyelenggaraan RM550 juta untuk tempoh tiga tahun. Saya memahami bahawa APMM berdepan dengan pelbagai cabaran melaksanakan fungsi dan peranannya di laut lepas.

“APMM masih menghadapi kekurangan infrastruktur seperti jeti, kuaters dan bilangan pegawai serta anggota,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Stesen Udara Maritim Subang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.

Muhyiddin berkata, sejak APMM ditubuhkan pada 2005, agensi itu telah melaksanakan lebih 300,000 operasi penggeledahan di laut dan berjaya membuat lebih 11,000 tangkapan meliputi pelbagai kesalahan jenayah maritim.

“Maritim Malaysia juga merekodkan pencapaian signifikan dan membanggakan apabila mencatatkan penurunan statistik jenayah maritim daripada 48.6 peratus pada 2006 kepada 2.2 peratus pada 2018,” katanya.

Katanya, APMM akan menerima tiga buah Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) selewat-lewat tahun depan yang menggunakan kepakaran tempatan.

“Aset-aset baharu ini pastinya akan meningkatkan kecekapan operasi APMM. Di samping itu, hasrat APMM untuk memiliki kapal induk pada suatu hari nanti Insya-Allah akan diberi perhatian sebaiknya.

“APMM juga akan diperkasakan dengan aset-aset udara yang penting dalam melaksanakan operasi membanteras pelanunan, rompakan serta aktiviti mencari dan menyelamat (SAR),” tambah beliau. – MalaysiaGazette