Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. - foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. - foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat ketika ini gamat ketika usul menggantung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama tiga bulan kerana melakukan suatu perbuatan yang menghina majlis mesyuarat dibahaskan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kinabatangan (BN), Datuk Seri Bung Mokthar Radin mendakwa beliau diberitahu beberapa pihak termasuk media bahawa dokumen embargo itu sebenarnya sudah di muat naik dalam laman sesawang rasmi Parlimen terlebih dahulu sebelum Najib memuat naiknya.

“Bagaimana boleh mendakwa Najib apabila dokumen kertas putih Felda yang sebenarnya embargo tetapi telah dikeluarkan dalam laman rasmi kerajaan seperti Parlimen?” soalnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan (BN) didakwa melanggar embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda dengan memuat naik sebahagian daripada kandungan itu di halaman Facebooknya.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul, usul penggantungan akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette