Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Nik Amlizan Mohamed (kanan) diiringi Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raya, Mohamad Sabu bercakap semasa sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membuat pendedahan berhubung dua urus niaga yang telah dijalankan tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan Jabatan Audit Negara (JAN) oleh kerajaan terdahulu.

Ketua Eksekutifnya, Nik Amlizan Mohamed yang merujuk kepada laporan kewangan LTAT bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (TK17) telah menyebabkan keuntungan negatif terkumpul RM31.6 juta.

Jelas Nik Amlizan, berdasarkan ‘Pendapat Berteguran’ dari JAN, nota 33 melibatkan keuntungan LTAT bagi TK17 dari hasil penjualan pembangunan harta tanah berjumlah RM202.71 juta yang tidak boleh diiktiraf dalam penyata kewangan LTAT bagi TK17.

Kata beliau, transaksi itu tidak boleh diiktiraf selaras dengan ‘financial reporting standard 118’ berkaitan pendapatan kerana kriteria-kriteria pengiktirafan pendapatan tidak dipenuhi.

“Impak daripada hasil penemuan seperti mana yang telah dinyatakan dalam pendapatan berteguran oleh JAN, telah menyebabkan keuntungan LTAT bagi TK17 menurun daripada RM662.17 juta ke RM370.56 juta.

“Keuntungan terkumpul LTAT juga akan secara mendadak yang telah mengakibatkan keuntungan terkumpul negatif sebanyak RM31.6 juta berbanding dengan keuntungan terkumpul positif sebanyak RM259.99 juta sebelum ini,” katanya dalam sidang media khas di lobi Parlimen sebentar tadi.

Sidang media itu juga dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang sebelum ini pernah membuat pendedahan penuh kewangan LTAT yang didakwa dimanipulasi kerajaan BN terdahulu.

Tanpa bercakap panjang tentang laporan tersebut, Mohamad Sabu hanya berkata pihak audit masih dalam peringkat penelitian sebelum pendedahan sepenuhnya.

Tambah Nik Amlizan lagi, kerugian berlaku dalam urusan penjualan pembangunan harta tanah dan kemerosotan bagi dua Sekuriti Sedia Untuk Dijual

“Kelewatan bagi akuan TK18 adalah disebabkan oleh penyerahan lewat bagi akuan TK17 malah LTAT berpendapatan bahawa dengan akuan beraudit muktamad bagi TK17 khasnya kerana status negatif untuk keuntungan terkumpul.

“Ini sebenarnya akan memberi kesan yang besar kepada akuan TK18. Kami kini sedang memuktamadkan akauan-akauan bagi TK18 serta menjangka pengumuman keputusan tersebut bakal dimaklumkan sebelum Julai 2019,” ujarnya lagi.

Pada 30 Mac lalu, Mohamad berkata, dividen LTAT masih belum dibuat kerana terdapat masalah pentadbiran berpunca daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. – MalaysiaGazette