Streram
Dr. S. Streram. foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2019.

RANTAU – Dr. S. Streram meminta MCA Negeri Sembilan khususnya di Rantau tidak bermimpi bahawa semua pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri itu akan mengundi Datuk Seri Mohamad Hasan Sabtu ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pemimpin MCA suka bermimpi majoriti penduduk Cina menyokong mereka.

“MCA sentiasa suka bermimpi. Berapa banyak kerusi yang mereka ada di Parlimen? Satu sahaja. Berapa banyak kerusi mereka kalah PRU lalu? 27 dari pada 28 kerusi Parlimen sudah tewas.

“Kamu rasa komuniti Cina sokong mereka? Saya rasa masyarakat Cina tidak sokong mereka,” katanya ketika ditanya pemberita pada Program Pemeriksaan Mata di Balai Raya Kampung Siliau semasa walkabout pagi tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan MCA Negeri Sembilan yang mendakwa pengundi Cina di Rantau sangat merindui bekas ADUN Rantau itu dan akan mengundi Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membolehkan bekas Menteri Besar itu mempertahankan kerusi tersebut.

Streram menegaskan, mimpi besar menjadi rutin MCA yang juga merupakan komponen Barisan Nasional.

“Ikutkan keadaan silap silap akhirnya orang MCA juga akan mengundi saya nanti Sabtu ini,” ujarnya.

Selain Mohamad atau lebih dikenali Tok Mad, Streram akan menghadapi dua calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin dan Calon Bebas Wanita R. Malar pada PRK Santu ini. – MalaysiaGazette