KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengarahkan sepasukan pegawainya untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), di Kota Tinggi awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan Pejabat Pengarah JKKP Johor berkata, pada masa ini, pasukan penyiasat itu masih lagi menunggu keadaan stabil dan selamat sebelum memulakan siasatan.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, dua pekerja mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Central Medical Facility untuk menerima rawatan lanjut.

“JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam,” kata jabatan itu.

Dalam pada itu, JKKP menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang kenyataan atau komen yang mengelirukan berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah, kejadian kira-kira 1.20 pagi itu berlaku di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dalam PIC. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/12/azalina-harap-kebakaran-di-pengerang-tidak-berulang/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/12/rapid-pengerang-terbakar-dua-cedera/