Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat semakan peralatan dan peti undi sempena persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Dewan Serbaguna SJKC Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 12 APRIL 2019.

SENDAYAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada kuasa untuk menghentikan aktiviti merayu undi, sebaliknya hanya boleh menasihatkan parti agar tidak melakukan aktiviti berkenaan.

Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga boleh memastikan agar aktiviti merayu undi tidak dilakukan kepada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Saya cuma boleh menasihatkan agar calon-calon dan parti-parti terlibat tidak berbuat demikian kerana ia boleh mengganggu ketenteraman dan memang pada hari itu kita tidak boleh berkempen.

“Jadi saya harap perkara itu tidak akan berlaku,” katanya kepada media meninjau persiapan semakan isi peti undi dan agihan peralatan kepada ketua tempat mengundi di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan.

Hadir sama Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

MGF12042019_PERSEDIAAN AKHIR SPR55
Suasana sekitar semakan peralatan dan peti undi sempena persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Dewan Serbaguna SJKC Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 12 APRIL 2019.

Tegas Azhar lagi, sebarang kempen daripada mana-mana pihak hendaklah dihentikan selepas jam 11.59 malam ini.

Sebarang aktiviti merayu undi juga dinasihatkan agar tidak dilakukan.

“Kita ingin menyenangkan pengundi untuk keluar mengundi dan ini ialah proses mengundi, perkara-perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

“Saya merayu kepada semua pihak terlibat agar tidak berbuat demikian,” katanya lagi.

Tidak sampai 24 jam, 20,793 pengundi DUN Rantau akan menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram dan 2 calon Bebas, R. Malar dan Mohamad Nor Yassin. -MalaysiaGazette