ECRL
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan untuk mengubah laluan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan mengelakkan Bentong tetapi menjalar landasan ke Negeri Sembilan mencetus pertanyaan.

Profesor Madya Dr. Wong Chin Yoong berkata, perubahan laluan itu tidak selari dengan kesan ekonomi yang diinginkan.

Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu berkata, ECRL bertujuan membolehkan kargo diturunkan dari Selat Melaka di Pelabuhan Klang dan dihantar ke Kelantan, sebelum diangkut menggunakan kapal ke China atau Jepun.

Chin Yoong justeru tidak faham kenapa Negeri Sembilan perlu dimasukkan sebagai perhentian ECRL.

“Saya tidak melihat sebabnya untuk memasukkan Negeri Sembilan. Kalau kata ia adalah untuk memangkin pelancongan, saya juga tidak dapat melihat kesannya,” katanya kepada Sinchew Daily.Katanya, operasi ECRL akan bergantung kepada pengangkutan kargo dan bukannya penumpang kerana kawasan Pantai Timur yang dilaluinya bukan tempat tumpuan aktiviti komersial atau kawasan padat penduduk.

“Kargo perlu melalui Negeri Sembilan sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan. Kami perlu menilai munasabahnya,” katanya.

Sinchew Daily sebelum ini melaporkan, laluan ECRL akan diubah atas pertimbangan faktor alam sekitar, yakni untuk mengelakkan Klang Gates Quartz Ridge yang kerajaan mahu menjadikan ia sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Oleh itu, laluan baharu dijangka mengelakkan Bentong, Pahang tetapi ia akan masuk ke kawasan Negeri Sembilan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa berkempen di Rantau pernah mendedahkan bahawa ECRL mungkin diubah laluannya bagi memanfaatkan orang Negeri Sembilan.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam pada itu berpendapat, laluan baharu yang mengelak Bentong menyebabkan ECRL kehilangan maknanya kerana Bentong ialah gerbang ke Pantai Timur.

Katanya, perubahan laluan tidak selari dengan hasrat orang Bentong yang berharap kesesakan jalan raya pada musim perayaan dapat diringankan melalui pembinaan ECRL. – MalaysiaGazette