Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (dua kiri) selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chuang Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2019

SENDAYAN – Barisan Nasional (BN) hari ini mengklasifikasikan kemenangan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai satu referendum penolakan anak muda terhadap Pakatan Harapan (PH).

Rumusan itu dilontarkan oleh Tok Mad sambil menegaskan bahawa BN tidak akan dapat meneruskan momentum kemenangan di PRK Cameron Highlands dan Semenyih sekiranya rakyat tidak menolak kerajaan sedia ada.

“Kalau rakyat tak tolak, kita tak akan menang dengan begitu selesa sekali

“Kita amat gembira sekali tengok keputusan yang jelas menunjukkan bahawa saluran-saluran yang dulu kita takuti iatu saluran orang muda, saluran inilah yang banyak berikan kita majoriti kepada Kemenangan BN,” katanya dalam sidang media selepas diumumkan pemenang dalam PRK Rantau.

Ini kemenangan ketiga berturut-turut bagi BN.

Menurut Tok Mad, faktor utama mengapa anak muda kembali memilih BN adalah kerana kesilapan yang dibuat golongan itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei tahun lalu.

“Mereka dah sedar mereka terpesona dengan janji dulu, dan sedar ia tak dapat dilaksanakan oleh kerajaan.

“Mereka amat rasa kecewa, inilah referendum mereka melalui peti undi pada PRK Rantau hari ini,” katanya lagi.

Mohamad malam ini diangkat sebagai ADUN Rantau setelah memperoleh 10,397 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Dr Streram 5,887 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diumumkan pemenang dengan majoriti 4,510 undi. -MalaysiaGazette