Dr. S. Streram berbual dengan pengundi sempena Pilihan Raya Kecil N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, Bandar Ekar, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2019.

RANTAU – Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau hari ini tidak akan merencatkan perancangan dan urus tadbir kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keputusan PRK walaupun memihak kepada Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional tidak akan menjejaskan kredibiliti kerajaan dalam merencanakan pembangunan kerajaan dan rakyat.

“Kita masih kekal dengan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mereka 16 ADUN yang ini tidak akan ada masalah,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama PH, di Taman Bandar Ekar malam tadi.

Keputusan PRK Rantau menyaksikan Mohamad Hasan selaku penyandang kerusi itu berjaya mempertahankan semula untuk penggal keemoat berturut-turut dengan majoriti selesa 4,150 undi menewaskan calon PH Dr. Streram.

Menurut Pengerusi PH Negeri Sembilan itu lagi, kerajaan negeri tidak akan berdepan sebarang masalah kesan daripada kekalahan itu tetapi berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri itu.

“Kita tidak akan berhenti di sini dan akan buat lebih baik untuk kerajaan negeri ini. Itu janji saya dan kepimpinan saya di negeri ini kepada rakyat jelata,” tegasnya lagi.

Ditanya sama ada kekalahan itu akan memberi kesan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ketua Umum Pakatan Harapan, beliau lantas menafikannya sedemikian.

“Ini sedia maklum apabila Keadilan bertanding, ada pemimpin yang membantu dan Alhamdulillah Datuk Seri (Anwar) membantu PRK ini dan memberikan tanggungjawabnya dengan turun berkempen.

“Ini bukan Mohamad Hasan lawan Anwar Ibrahim. Ini Streram dan Mohamad Hasan,” tegasnya.

Malah beliau turut ditanya mengenai dakwaan wujud sabotaj dalaman dalam PRK kali ini selain kegagalan penyokong PH keluar mengundi serta seorang individu penting dalam jentera PH yang dikatakan hilang secara misteri sejak semalam.

“Kita akan siasat siasat perkara tersebut jika betul kita akan ambil tindakan. Kadang-kadang apabila kerja sukarela, apabila ditekan dan jika dia tak boleh tahan, maka dia tinggalkan, itu biasa dalam politik.

“Sabotaj kita akan siasat, jika betul ambil tindakan, tapi rakan-rakan kalau ada bukti kena tampil berikan supaya kita boleh siasat,” katanya. – MalaysiaGazette