Laluan baharu projek ECRL selepas kerajaan memeterai perjanjian tambahan dengan China.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akhirnya mengumumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung selepas satu perjanjian tambahan dengan China dimeterai Jumaat lalu.

Projek yang pada asalnya bernilai RM65.5 bilion (mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mengumumkan kosnya adalah RM55 bilion) itu dikurangkan kepada RM44 bilion sekaligus menyaksikan beberapa perubahan pada pelan asalnya termasuklah memendekkan laluan serta melencongkannya ke Negeri Sembilan berbanding Gombak sebelum ini.

Menurut Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Tun Daim Zainuddin, jajaran baharu itu melibatkan Kota Baru-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Putrajaya dan Pelabuhan Kelang.

Bagi sesetengah pihak, jajaran baharu yang lebih pendek bukanlah penjimatan yang sebenar kerana secara logiknya, semakin kecil sesuatu projek tersebut semakin sedikitlah kos yang perlu ditanggung.

Namun bagi warga Pantai Timur yang menantikan projek ini dilaksanakan menyatakan rasa tidak puas hati kerana lencongan tersebut tidak lagi melibatkan Gombak dan Bentong.

Ini kerana kedua-dua lokasi berkenaan adalah strategik dan laluan utama untuk ke Pantai Timur berbanding Bangi dan Putrajaya yang terletak di selatan.

“Saya tinggal di Sungai Buloh, jadi jika hendak pulang ke kampung dengan menaiki ECRL, saya kena mengharung perjalanan lebih jauh untuk ke Bangi kerana stesennya ada di situ.

“Gombak adalah sebuah lokasi strategik sebab orang ramai akan melalui kawasan tersebut untuk ke Pantai Timur,” kata seorang netizen Mohd, Hafidz Yaakob.

Bagi Amir Kamaruddin, lencongan berkenaan telah memusnahkan potensi Bentong untuk dimajukan.

“Bila stesen Gombak dan Bentong dihapuskan, ini bukan sahaja menyusahkan pengguna ECRL malah turut membunuh potensi Bentong untuk dimajukan.

“Bentong adalah sebuah kawasan yang mempunyai potensi tinggi dalam pelbagai sektor dan hampir dengan Kuala Lumpur cuma terpisah oleh Banjaran Titiwangsa,” katanya.

Malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengatakan, penjajaran semula projek ECRL itu tidak mencapai matlamat asal pembinaannya.

Katanya, satu keistimewaan dan matlamat asal projek berkenaan adalah untuk memendekkan tempoh perjalanan dari ibu kota (stesen Gombak) ke Kota Bharu kepada kurang empat jam berbanding kira-kira tujuh jam melalui jalan raya biasa.

Malah dengan menghapuskan perancangan untuk membina stesen Gombak dan Bentong, ia juga telah menghancurkan harapan mereka yang ingin tinggal di Bentong atau Mentakab tetapi bekerja di Kuala Lumpur, katanya.

Menurut CIMB Research dalam satu nota penyelidikannya, lencongan tersebut mungkin untuk memanfaatkan landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) sedia ada.

Bagaimanapun menurut penganalisis, lencongan tersebut berjaya mengurangkan kos pembinaan projek berkenaan sebanyak RM21.5 bilion kerana kerajaan tidak lagi perlu membina terowong terutama di Banjaran Titiwangsa.

“Tidak perlu lagi “menebuk” Banjaran Titiwangsa bagi membina terowong kerana bahagian tersebut menyumbang kos yang besar kepada ECRL,” katanya.

Dalam pelan asal, landasan tersebut perlu melalui dua terowong sepanjang 16.3 kilometer setiap satu dan menurut Najib, kos pembinaan terowong tersebut adalah kira-kira RM10 bilion.

“Kos untuk satu terowong ini sahaja hampir RM10 bilion dan adalah antara bahagian termahal dalam projek ECRL masa BN.

“Tetapi ianya perlu bagi mencapai matlamat supaya warga Ibukota boleh menggunakan ECRL untuk terus ke pantai timur dengan masa tersingkat.

“Sekarang, ECRL tidak akan sampai ke ibukota lagi kerana jajaran telah ditukar,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan butiran lanjut berhubung projek tersebut, esok. -MalaysiaGazette