KUANTAN – Seorang pekerja swasta kerugian hampir RM5,000 selepas diperdayakan untuk menghantar Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterimanya ke nombor telefon bimbit yang tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt. Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 37 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp suspek pada 1.10 tengahari semalam.

“Suspek mendakwa tersilap memasukkan nombor telefon dan meminta supaya nombor TAC yang diterima mangsa dihantar semula kepadanya.

“Mangsa mendakwa sebanyak enam nombor TAC diterimanya secara berturut-turut setiap lima minit, yang kesemuanya dimajukan ke nombor suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula berasa tidak sedap hati apabila memeriksa salah satu mesej nombor TAC itu yang melibatkan jumlah pengeluaran yang agak besar.

Sehubungan itu, mangsa memeriksa akaunnya secara dalam talian dan mendapati terdapat pemindahan wang sebanyak RM4,979.70 ke dalam akaun individu tidak dikenalinya.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada petang semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama