Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail

PETALING JAYA – Hanya 35 buah daripada kira-kira 200,000 kenderaan e-hailing di seluruh negara sudah menjalani pemeriksaan Puspakom seperti yang diarahkan kerajaan setakat 10 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail menasihatkan semua pemandu e-hailing untuk melakukan pemeriksaan dengan segara dan tidak menunggu sehingga ke saat akhir bagi mengelakkan kesulitan.

Malah bagi memudahkan pemandu e-hailing, Puspakom telah melanjutkan operasi kepada tujuh hari seminggu di 19 cawangan terpilih.

“Dengan kapasiti sedia semasa, sistem operasi, infrastruktur dan rangkaian pusat pemeriksaan kenderaan untuk pemeriksaan e-hailing yang merangkumi 54 daripada 56 cawangan tetap di seluruh negara, Puspakom mempunyai kemampuan untuk melicinkan urusan pelanggan,” katanya dalam satu taklimat media di sini.

Tambah Shukor, pemandu tidak perlu mendapatkan lesen PSV terlebih dahulu sebelum menjalani pemeriksaan Puspakom.

Katanya, mereka hanya perlu datang ke mana-mana cawangan Puspakom ke seluruh negara dan sekiranya semua dokumen mencukupi, proses pemeriksaan hanya mengambil masa tidak lebih sejam.

Bagi memudahkan pelanggan, Puspakom juga menyediakan kemudahan tempahan melalui laman web dan aplikasi MyPuspakom yang bukan sahaja membolehkan pemandu membuat temujanji malah membuat pembayaran serta-merta.

Bayaran untuk pemeriksaan pertama adalah RM70,” katanya.

“Kita tahu ada pemandu yang tidak mahu menunggu lama jadi mereka boleh membuat temujanji menerusi laman web atau aplikasi MyPuspakom dan mereka juga boleh membuat bayaran terus.

“Kami juga memanjangkan tempoh operasi untuk pemandu e-hailing sehingga jam tujuh malam, jadi mereka tidak perlu berebut dengan kenderaan-kenderaan komersial untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Tambah Shukor, sambutan dingin daripada pemandu e- hailing itu mungkin disebabkan maklumat yang tidak sampai meskipun perkara tersebut telah diumumkan sejak Julai tahun lepas.

Beliau juga menasihatkan pemandu supaya tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah kerana Puspakom telah menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan pelanggan.- MalaysiaGazette