Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan terima kasih kepada peniaga selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pasar Pekan Rantau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2019

RANTAU – Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti sama ada beliau ada melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau sebaliknya.

Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, beliau hanya menunjukkan kertas undi miliknya dan bukan kertas undi orang lain.

“Tak apalah. Biar dia teliti dulu,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang akan meneliti undang-undang di bawah SPR mengenai dakwaan itu.

Semalam, Azhar berkata beliau tidak tahu sama ada Mohamad telah melakukan kesalahan atau pun tidak berikutan tindakan beliau mendedahkan kertas undinya yang telah dipangkah kepada kumpulan jurugambar pagi semalam.

MGF14042019_HARI PERTAMA ADUN RANTAU_11
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbual dengan para peniaga di Pasar Pekan Rantau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2019

Katanya, beliau perlu membaca dan meneliti peraturan sedia ada mengenai perkara tersebut seperti yang dibangkitkan oleh Bersih 2.0 yang mahu supaya pihak polis serta SPR mengenakan tindakan terhadap Mohamad.

“Saya pun tak tahu, saya kena baca peraturan dan meneliti betul-betul peraturan mengenai perkara ini,” katanya kepada wartawan selepas SPR mengumumkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang dimenangi oleh Mohamad, semalam.

Mohamad turut bertegas bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana mendedahkan kertas undinya itu.

“Saya tidak teruja cuma beritahu apa saya undi.

“Tak salah, kenapa pula salah. Saya tunjuk kertas undi saya bukan orang lain punya.

“Undi saya suka hatilah nak tunjuk apa. Selagi saya tidak bawa keluar (kertas undi),” katanya lagi.

Bersih 2.0 dalam kenyataan kelmarin berkata, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu boleh mempengaruhi orang lain apabila mendedahkan undinya.

Ia juga boleh memudahkan pembelian dan penjualan undi.

Mohamad menang selesa dengan majoriti 4,510 undi pada PRK DUN Rantau semalam. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: