Reaksi calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) menunjukkan kertas undi sambil ditemani isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin (kanan) ketika membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chuang Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya diminta bertindak terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan kerana  mendedahkan kertas undinya.

Tindakan tersebut didakwa melanggar undang-undang pilihan raya.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk tindakan Mohamad yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau yang menunjukkan kertas undinya selepas selesai mengundi.

“Adakah beliau tidak tahu bahawa ia adalah kesalahan pilihan raya kerana melanggar kerahsiaan undi, walaupun undi sendiri, atau adakah beliau menolak undang-undang?,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menggariskan kepentingan mengekalkan kerahsiaan pengundian dan maklumat yang berkaitan dengan pengundian.

Pesalah boleh dikenakan penalti satu tahun penjara atau RM3,000 atau kedua-duanya.

Bersih 2.0 menambah, kerahsiaan undi adalah penting kerana ia boleh mempengaruhi orang lain, selain memudahkan pembelian dan penjualan undi.

“Pelanggaran seperti yang dilakukan oleh Mohamad, jika tidak ditangani, mungkin menggalakkan orang lain untuk menyatakan secara terang-terangan undi mereka pada pilihan raya akan datang.

“Ini boleh membawa kesan serius yang berkaitan dengan kesalahan kempen pada hari mengundi dan rasuah,” katanya sambil berkata, kerahsiaan semasa mengundi mesti dikekalkan dan tiada siapa melepasi undang-undang. – MalaysiaGazette