KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula Program Permata Negara (Permata) kepada Genius yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Rata-rata netizen yang memberi komen di akaun Facebook Kementerian Pendidikan menyifatkan perkataan permata itu sudah cukup sempurna bagi Program Permata Negara, sekali gus menggambarkan kehebatan program tersebut.

Malah, kebanyakan mereka menuntut Maszlee menjustifikasikan keperluan menukar perkataan permata kepada genius, turut mempromosikan perkataan Inggeris berbanding bahasa Melayu, perubahan itu akan membabitkan kos kepada kerajaan, juga kepada pelajar-pelajar terbabit.

Pembabitan kos itu, dakwa netizen tidak selari dengan apa yang dicanang oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mahu mengambil langkah berjimat cermat.

Selain itu, perkataan genius didakwa membawa maksud berlebih-lebihan dan kurang sesuai.

Rajinder Singh berkata, Permata ebenarnya adalah Istilah yang cukup sempurna, molek, indah, cun dan ia memang serasi dengan budak-budak yang istimewa kepintaran mereka.

“Permata itu dalam Bahasa Melayu, lagi cun,” katanya.

Shahreena Paramasuvaran berkata, semua tahu kelebihan program-program Permata dan rakyat berterima kasih kerana Pakatan Harapan memutuskan untuk meneruskannya.

“Tetapi tolong kekalkan namanya juga,” ujarnya sambil berkata, perubahan nama itu akan turut membabitkan kos untuk penjenamaan semula.

Ia termasuk pakaian pelajar-pelajarnya yang mempunyai logo Permata. Tidakkah ia satu pembaziran apabila mahu menggantikannya,” soal beliau lagi.

Penggunaan perkataan Genius didakwa tidak menggambarkan falsafah Pendidikan Kebangsaan dan tidak mencerminkan falsafah pendidikan awal kanak-kanak.

Sehubungan itu, Nur Edzati Kamaluddin mahu Kementerian Pendidikan memberi justifikasi kukuh berhubung cadangan berkenaan.

Seorang warganet, Sirimah Kamarudin pula mempertahankan perkataan Permata yang indah pada pendengaran berbanding genius yang kedengaran riak.

Intan Fadzliana Ahmad pula mengkritik Kementerian Pendidikan yang didakwa mengambil langkah tidak pintar, jauh sekali genius apabila mencadangkan perkara itu.

“Tidak ada keperluan pun. Kalau bukan setakat nak tunjuk buat kerja, membazirkan duit dengan menukar segala billboard, signage dan ‘tukar label, isi sama’. Sila justify,” katanya.

Arifudin Ateh juga mempersoalkan perkara sama sambil menyindir bukankah kerajaan Pakatan Harapan mahu berjimat.

“Lepas ni kena tukar signboard, logo, letterhead , carta organisasi etc… Semuanya kos,” katanya.

Tidak kurang juga ada netizen yang menempelak kerajaan Pakatan Harapan susulan perubahan nama Permata itu.

Faiq Roslan bertanya mengapa Pakatan Harapan fobia sangat dengan tinggalan Barisan Nasional (BN).

“Sebab dulu hampa kata BN tak buat apa bantu rakyat? So PH segan nak teruskan program-program bermanfaat zaman BN dulu dengan nama yang sama?
Tukar nama, tukar stokin laju ja menteri kita ni,” katanya.

Sharudin Senapi pula menyindir: “Tukaq nama. Tukaq papan tanda. Tukaq logo. Tukaq baju. Tukaq letter head. Semua kos. Pastu ajak rakyat bantu tabung harapan”.

Mohd Shamsul Husin pula mempersoalkan: “Berapa kos tukar nama pulak? Asal benda Najib bangunkan terus tukar nama? Ingat murah? Baik tambah elaun pelajar lah!”.

Seorang netizen bernama Nur Suraya Ahmad bertanya sama ada Maszlee tahu atau tidak Permata Pintar berada di bawah UKM – satu satunya universiti yang memartabatkan Bahasa Malaysia dalam perkata berkaitan dengan akademik, pengurusan fakulti, kolej, institut dan segalanya.

“Kenapa ya perlu tukar nama tu? Saya masih menunggu cadangan, idea, buah fikiran Dr yang boleh menunjukkan tahap kecerdikan Dr.. Lagi lagi Dr dulu pernah menjadi warga pendidik di universiti dan berpengalaman dalam dunia akademik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/15/permata-dijenamakan-semula-kepada-genius/

1 Komen

  1. Patut pun menteri ni kena hentam. Elok check sekali title Dr dia ni, betul ke palsu. Tindakan langsung x kena dgn title Dr tu

Comments are closed.