PEKAN – Seorang lelaki cedera parah di bahagian perut dan tangan setelah ditetak bekas abang iparnya dengan menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Padang Buloh, malam semalam.

Dalam kejadian pada 10.30 malam tersebut, ibu mangsa turut dicederakan ketika ingin menyelamatkan anaknya itu menyebabkan beliau menerima beberapa jahitan di kepala dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Kejadian disaksikan adik mangsa berusia 20 tahun yang mendakwa suspek mula menyerang abangnya yang duduk di luar pintu belakang rumah mereka.

“Selepas terdengar jeritan, ibu mangsa bergegas melihat keadaan anaknya itu sebelum turut diserang oleh suspek yang membawa sebilah pisau,” katanya di sini Ahad.

Amran berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dan meninggalkan mangsa yang berlumuran darah.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan dan saksi telah tampil membuat laporan polis pada hari sama, katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast