Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk perbicaraan kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tiba pukul 9 pagi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini bagi berdepan prosiding pendakwaan hari kedua terhadapnya.

Bekas Perdana Menteri itu dikaitkan dengan tujuh pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn. Bhd..

Sementara itu suasana di lobi pula terkawal dengan kehadiran kumpulan kecil penyokong Najib bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu dengan melaungkan Bossku ketika beliau sampai.

Dalam pada itu puluhan pengamal media tempatan dan luar negara mula memenuhi pekarangan serta lobi pukul 7.30 pagi walaupun prosiding perbicaraan dijangka bermula pada pukul 9 pagi.

Bagi melancarkan urusan liputan media, mahkamah mengeluarkan beberapa pas kepada wakil media tempatan dan antarabangsa bagi mengikuti prosiding itu.

Turut kelihatan, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan kawalan keselamatan di pekarangan Kompleks Mahkamah untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Perbicaraan kes bermula 3 April lalu dengan Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC International.

  • MalaysiaGazette