Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd, Muhammad Yazurin Sallij menggunakan kad pengenalan yang mempunyai fungsi TouchNGo ketika mengadakan tinjauan Pelaksanaan Hari Pertama Sistem Pembayaran Tanpa Cukai di Laluan Bas Koridor Ampang, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) telah mula melaksanakan sistem pembayaran elektronik tanpa tunai sepenuhnya di semua laluan bas RapidKL berkuatkuasa hari ini.

Permulaannya dilaksanakan di koridor Ampang yang mempunyai sebanyak 64 jumlah bas.

Menurut Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, langkah pelaksanaan dimulakan di koridor Ampang yang mempunyai sekurang-kurangnya purata lebih 30,000 penumpang harian.

Katanya, koridor Ampang juga membabitkan sebanyak 11 laluan iaitu 300, 302, 303, BET7, T300, T301, T302, T303, T304, T350 dan T351.

Jelas Muhammad Yazurin, laluan lain seperti Cheras, Sungai Besi dan Jalan Klang Lama akan dilaksanakan sistem tanpa tunai sepenuhnya pada 29 April manakala laluan Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang akan mula seara berperingkat bermula 29 April ini.

“Bagi lapan laluan yang dibina pada tahun ini, untuk menaik taraf perkhidmatan bas di Lembah Klang dan Selangor – Lebuh Raya Persekutuan akan dilaksanakan pada 27 Mei, sekali gus menjadikan keseluruhan sistem tanpa tunai.

“Kita mahu menyeru kepada semua penumpang diluar sana yang sudah biasa menggunakan wang tunai supaya mula menggunakan kaedah tanpa tunai ini bagi memudahkan perjalanan malah anda juga akan mendapat diskaun sebanyak 20 peratus daripada tambang biasa berbanding tunai sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan hari pertama tanpa sistem pembayaran tanpa tunai itu di laluan bas koridor Ampang di hab bas KLCC di sini hari ini.

Tambah Muhammad Yazurin lagi, inisiatif Rapid Bus itu sebenarnya untuk mengalakkan penumpang menggunakan transaksi tanpa tunai selain melancarkan proses pembayaran dalam bas.

“Penumpang sebenarnya hanya perlu menyentuh kad tanpa tunai untuk masuk, keluar bas. Semudah itu.

“Bukan sahaja senang malah penumpang juga dapat menikmati diskaun sebanyak 20 peratus daripada tambang yang sedia ada jika menggunakan kad tanpa tunai.

“Untuk pemegang konsesi pelajar, warga emas dan juga orang kelainan upaya (OKU) boleh mendapat rebat sehingga 50 peratus,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, bagi penumpang tempatan, pembelian kad tanpa tunai My50 dan My100 turut membolehkan akses kepada monorel, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan bas perantaraan MRT serta Bas Rapid Transit (BRT).

“Semua pengguna yang belum mempunyai kad tanpa tunai, boleh membeli di semua stesen sedia ada bermula dengan kadar RM15 dengan RM5 harga bagi kad.

“Bagi kad tanpa tunai My50 dan My100, pengguna perlu menggunakan kad ketika menaiki dan turun bas. Pastikan baki kredit paling minimum RM3 sebelum menaiki bas,” ujarnya.

Pengguna masih dibenarkan menggunakan transaksi pembayaran tunai sepanjang tempoh permohonan kad konsesi sebulan daripada pelancaran setiap koridor.

Kad konsesi boleh dimohon menerusi http://www.myrapid.com.my atau kaunter pendaftaran di hab bas Pasar Seni,” katanya dengan menambah kemudahan tambah nilai turut disediakan di semua stesen LRT, MRT, monorel dan BRT. –MalaysiaGazette