Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan mengumumkan akan menghapuskan kuota haji VVIP di negara ini baru-baru ini dianggap adil.

Kuota haji VVIP itu melibatkan menteri, menteri besar dan ketua menteri yang keseluruhannya melibatkan lebih 1,500 orang.

Pada amalan sebelum ini, kewujudan kuota khas VVIP itu  membolehkan menteri memberikan kuota tersebut sebagai hadiah kepada aktivis-aktivis parti dan hadiah mengambil kira pelbagai faktor yang dianggap wajar mengikut budi bicara mereka.

Ia sekaligus sebahagian daripada kelebihan mereka sebagai menteri semasa waktu Barisan Nasional memerintah.

Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Aiman Athirah Al-Jundi, ia satu langkah yang baik walaupun pada mulanya dilihat tidak wajar.

“Awalnya, saya sendiri agak terkejut kerana berpandangan apa salahnya kuota khas peruntukan VVIP itu terus wujud sekiranya ia tidak menafikan hak orang lain.

“Rakan-rakan dari parti pembangkang juga ada yang menganggap tindakan dan keputusan dasar yang dikemukakan itu sebagai bodoh serta merugikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, selepas diberitahu kuota khas VVIP itu sebenarnya diambil daripada kuota biasa dan menafikan hak bakal-bakal haji yang lama menunggu, beliau akhirnya yakin tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa itu adalah wajar.

“Ia keputusan wajar dan adil, apalagi bila mengetahui bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan kuota khas VVIP ini dengan menjadikannya sebagai bisnes,” kata Aiman Athirah.

Mengambil kira dasar baharu itu, katanya, rakyat memperoleh pelbagai kebaikan. – MalaysiaGazette