Terminal Bersepadu Selatan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan sembilan lelaki yang menjalankan kegiatan ulat teksi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Pengarahnya Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, kesemua suspek berumur 40 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi bermula Mac hingga Rabu lepas.

“Ulat teksi ini akan mendesak atau memujuk pelanggan menggunakan khidmatnya dan meminta bayaran RM30 sekiranya pelanggan ingin mendapatkan kenderaan ke mana-mana destinasi.

“Berdasarkan risikan, operasi ulat teksi ini kebiasaannya bermula pukul 4 pagi hingga 7 pagi,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari JPJ ke-73 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata 16 anggota JPJ ditempatkan di TBS bagi membanteras kegiatan seperti ulat teksi dan ulat tiket serta memantau perjalanan bas.

“Bagi lokasi seperti Hentian Duta pula, JPJ akan menempatkan anggota sekiranya menerima aduan kegiatan ulat tiket di lokasi tersebut,” katanya.

Mengulas penahanan 23 anggota JPJ Pulau Pinang semalam, Ismail mengingatkan anggotanya untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak terlibat dalam rasuah.

Katanya, pihaknya tidak berkompromi dengan anggota terlibat rasuah atau melanggar SOP selain unit integriti JPJ akan memantau anggota yang melakukan tugas di lapangan.

“Sekiranya ada anggota yang membuat kesalahan, siasatan akan dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan tatatertib dikenakan,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana disyaki melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar negeri itu. – MalaysiaGazette