Orang ramai mengambil kesempatan membeli-belah semasa jualan murah.

KUALA LUMPUR – Industri peruncitan dijangkakan tumbuh pada 4.5 peratus tahun ini berbanding 3.9 peratus tahun lepas, didorong oleh sentimen perniagaan yang lebih baik dengan China.

Presiden Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua berkata, hubungan baik antara kedua-dua negara selepas perjanjian baharu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dijangkakan turut meningkatkan sektor pelancongan.

“Jangkaan itu juga selari dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus,” katanya di luar Forum Industri Runcit di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor makanan dan minuman (F&B) dijangkakan mengalami kelembapan disebabkan kekangan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, yang mengakibatkan penurunan kuasa belanja.

Sektor F&B meningkat 2.6 peratus pada 2018 – prestasi yang dijangkakan dapat dikekalkan pada tahun ini.

Chua berkata menerusi rangsangan dalam sektor pelancongan, industri peruncitan boleh mengalami pertumbuhan dua digit, namun tanpa dorongan, sentimen pasaran akan kekal lembap.

“Menjelang 2020, Malaysia akan mempunyai kira-kira 600 hingga 700 pusat beli-belah, dan Malaysia dan hanya mempunyai 32 juta penduduk, suatu angka yang agak rendah.

“Sekiranya pelancongan tidak bertambah, perniagaan tidak akan maju, yang akan menjurus kepada penutupan kedai dan berlaku lebihan dalam ruang runcit,” katanya.

Beliau berkata, segmen runcit mencatatkan pertumbuhan perlahan antara dua dan lima peratus sejak enam tahun lepas, berbanding pertumbuhan dua angka sebelum itu.

“Peningkatan sektor pelancongan akan membawa limpahan yang cepat terhadap ekonomi memandangkan China merupakan pembeli yang besar. Saya percaya kita perlu mengejar negara jiran dalam mempromosikan pelancongan Malaysia, yang seterusnya akan menyumbang kepada limpahan ketara kepada ekonomi yang kita lemah,” katanya.

Berdasarkan perangkaan Tourism Malaysia, bilangan ketibaan pelancong hampir tidak berubah sejak empat tahun lepas, dengan 25.72 juta ketibaan pada 2015, sebanyak 26.76 juta pada 2016, 25.95 juta pada 2017 dan 25.83 juta pada 2018. – MalaysiaGazette