Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas membuat keputusan tidak meletakkan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada 11 Mei nanti.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan perkara itu disepakati semasa mesyuarat jawatankuasa kerja parti itu yang bersidang pada 15 April yang lalu.

Dengan kata lain, Pas akan menyokong dan membantu calon yang akan mewakili parti pembangkang di kerusi itu kelak.

“Dengan keputusan ini, maka Pas akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon bagi menentang calon Pakatan Harapan.

“Selaras dengan itu, Pas Sandakan dan Pas Sabah khususnya akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat bagi membantu calon pembangkang dalam menghadapi PRK ini.

“Pas juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pihak pembangkang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

PRK Sandakan yang akan diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Barisan Nasional (BN) baru-baru ini berkata, pihaknya belum menetapkan calon untuk bertanding di kawasan parlimen itu.

Dalam masa yang sama, parti itu, kata Takiyuddin berharap PRK kali ini akan menguatkan kedudukan pembangkang.

“Pas mengharapkan pilihan raya kecil ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan Wakil Pembangkang, lebih-lebih lagi kerusi Parlimen tersebut pernah dimenangi oleh BN suatu ketika dahulu,” ujar beliau.

Kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu menyaksikan pertembunan dua penjuru di antara PKR dan BN.

Wong Tien Fatt walaubagaimanapun menang dengan undi 19,094 berbanding seterusnya dari Lim Ming Ho (8,996).

Pada pilihan raya sebelumnya juga Wong mengalahkan calon BN yang memegang kerusi itu sejak sebelum 2008.-MalaysiaGazette