Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar dua surat membersihkan nama Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli daripada sebarang salah laku.

Berikutan perkembangan terbaharu itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan tiga jalan yang bernilai RM6.3 bilion akan diteruskan.

Memetik laporan potal FMT, beliau berkata, kes mahkamah yang masih berjalan tidak menyasarkan Zarul atau syarikat itu kerana rasuah, sebaliknya disebabkan seorang individu yang memperdaya Zarul untuk mendapatkan “sejumlah besar wang”.

Kes itu membabitkan ahli perniagaan, G Gnanaraja yang didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu Zarul sebanyak RM19 juta pada 2017, dengan memperdaya Zarul untuk percaya Gnanaraja boleh membantunya menutup siasatan pengubahan wang haram terhadapnya oleh SPRM.

“Dengan itu, persoalan itu tidak timbul,” katanya merujuk cadangan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) untuk menggantung projek pembinaan terowong dasar laut dan 3 jalan itu sementara menunggu siasatan SPRM.

“Ia adalah isu yang sudah ditutup, setahu kita,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Semalam, C4 menggesa Pulau Pinang menggantung projek itu susulan kebimbangan terhadap “kontroversi dan misteri” yang menyelubungi projek berkenaan.

Ia turut menggesa SPRM mempercepatkan siasatannya untuk menyingkap “semua kemungkinan salah laku” membabitkan projek itu dan kontraktornya.

Chow berkata, kes Zarul ialah kes “terpinggir dan tiada kaitan” dengan kerajaan Pulau Pinang dan ia tidak membabitkan cara tender kerajaan itu diberikan.

“Ia hanya seorang individu yang mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk mendapatkan sejumlah besar wang. Ia adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri,” katanya.