Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan diminta menjelaskan sama ada masih mengekalkan kuota 2,200 yang diperuntukan kepada penuntut India untuk memasuki program matrikulasi bagi sesi 2019/20.

Peruntukan itu telah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada pelajar India selepas menambah 700 tempat baharu berbanding 1,500 sebelum ini bagi memastikan kaum India tidak tercicir dalam pembangunan akademik negara.

Kementerian itu juga diminta mendedahkan jumlah pelajar India yang sudah memohon masuk ke program matrikulasi bagi sesi itu.

Permintaan itu dibuat oleh empat pembaca MalaysiaGazette susulan laporan seorang pelajar India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A tetapi tidak dapat diterima masuk ke program matrikulasi.

Shatesh Kumar Sangar, Seshagri Somasegaran, Sharvin Rao Tharma Raja dan S. Sharmin Kutty kesal kerana isu itu sehingga hari ini tidak mendapat perhatian daripada empat menteri berbangsa India.

“Sehingga hari ini, seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi bahawa tiada tindakan yang dilakukan ataupun diambil oleh keempat- empat Menteri yang berbangsa India dalam Kabinet terhadap isu kemasukan matrikulasi ini,” kata mereka.

Sedangkan pada muka surat 167 Buku Harapan PRU-14, ia telah menyatakan bahawa sebagai rakyat yang mempunyai hak yang sama dengan semua warga negara lain, sudah tiba masanya untuk semua bentuk diskriminasi yang menzalimi kaum India dihapuskan.

Menurut mereka, stastistik 2013-2017 menunjukkan bahawa pendaftaran pelajar India bagi program matrikulasi meningkat, menunjukkan penyertaan dan minat pelajar India bertambah bagi setiap tahun.

Sedangkan kursus asasi yang dibenarkan untuk pelajar bukan Bumiputera adalah terhad.

“Adakah pelajar India yang cemerlang tidak layak untuk mengikuti pengajian matrikulasi dan asasi?” soal mereka.

Sehubungan itu, kata mereka, kerajaan perlu menaikkan kuota pelajar India daripada 2,200 kepada 3,000, selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu masyarakat India.

Dakwa mereka, stastistik 2013-2017 menunjukkan tidak semua pelajar India yang ditawarkan program matrikulasi mendaftarkan diri, justeru terdapat kekosongan tempat bagi kuota yang sedia ada.

Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, kerajaan boleh mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan jumlah tawaran bagi pengambilan kedua atau membuat tawaran khas pengambilan ketiga.

Kementerian Pendidikan juga diminta membuat penelitian semula berkaitan sistem matrikulasi dan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) agar tidak berlaku pertindihan supaya ramai lagi pelajar berpeluang melanjutkan pendidikan di institusi pendidikan awam.

Artikel berkaitan:Apa nasib pelajar cemerlang India tak dapat matrikulasi?

Jangan tindas dan berlaku zalim kepada pelajar cemerlang masuk matrikulasi – DAP

Mereka juga mahu kementerian meneliti semula pengajian asasi yang ditawarkan serta membuka lebih banyak pengajian asasi kepada pelajar cemerlang bukan bumiputera.

“Misalnya, pengajian Asasi Sains Hayat di UM memberi peluang kepada pelajar bukan bumiputera tetapi tidak di UIAM, USIM dan UITM.

“Cadangan ini dapat mewujudkan persaingan sihat di samping memantapkan integrasi nasional dan perpaduan kaum,” kata mereka. – MalaysiaGazette