Khairul Azam
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Peguam Negara (AG), Tommy Thomas didakwa gagal menyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung berhubung isu Statut Rom, demikian bidas seorang peguam, Khairul Azam Abdul Aziz.

Menurut beliau, tuduhan bahawa empat orang pensyarah yang hadir di Istana Negara telah mengelirukan Majlis Raja-Raja semasa memberikan pendapat mereka berhubung isu itu juga adalah fitnah semata-mata.

“Empat pensyarah ini katanya telah mengelirukan Majlis Raja-raja ekoran perbentangan itu.

“Saya tidak setuju, (katakan) empat pensyarah itu telah mengelirukan Majlis Raja-Raja. Isunya sekarang Peguam Negara, Tommy Thomas dan Emeritus Professor Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi gagal yakinkan Majlis Raja-Raja kerana kedua-dua pihak ini diundang oleh Majlis Raja-Raja untuk bentangkan kertas kerja mengenai Statut Rom.

“Tommy Thomas sendiri bila dijemput ke Majlis Raja-Raja gagal kemukakan hujah balas mengenai perbentangan empat pensyarah itu. Jadinya ini bukan cerita empat pensyarah ini kelirukan Majlis Raja-Raja tapi isunya adalah Peguam Negara gagal yakinkan Majlis Raja-Raja dalam isu ini,” katanya ketika menjadi ahli panel Bicara Persada bertajuk ‘Statut Rom: Malaysia ke Arah Mana? di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Turut hadir memberikan pendapat masing-masing adalah pensyarah Fakulti Undang-undang UKM, Prof. Datin Dr. Faridah Jalil, Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin dan aktivis serta alumni UKM, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Sebelum ini, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat pensyarah yang didakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja agar menolak Statut Rom.

Rumusan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Perkara itu didedahkan Ketua Gabungan Pembebasan Akademik institut pengajian tinggi (IPT), Asheeq  Ali Sethi Alivi pada 2 April lalu.

Dalam pada itu, Khairul Azam yang juga peguam bela berkata, Statut Rom memerlukan masa untuk dihadam oleh rakyat mahupun kerajaan.

Ini kerana jelas beliau, perkara-perkara berhubung Perlembagaan Persekutuan harus diteliti terlebih dahulu kerana melihatkan kepentingan pelbagai kaum di negara ini.

“(Kita) mungkin perlukan dia lagi 5 hingga 10 tahun sebab masa itu kerajaan sudah sedia, malah rakyat pun sudah sedia terima.

“Semua orang akan faham jadi boleh buat. Kerajaan ada masa yang panjang untuk jelaskan Statut Rome ini jadi jangan gelojoh. Buat kereta terbang dulu, bagi kereta terbang itu dulu. Bila seluruh dunia sudah bangga dengan kereta terbang kita, baru kita boleh usulkan.

“Kegelojohan ini boleh menimbulkan banyak masalah,” katanya lagi.

PH pada 6 April lalu memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysia menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini walaupun ia telah ditandatangani. – MalaysiaGazette