KUALA LUMPUR – Jalan Merah Caga di persimpangan SUKOM, Bukit Jalil menghala ke Bandar Baru Sri Petaling telah ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran laluan Lebuhraya KESAS.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berkata, kerja-kerja pelebaran ini dijadualkan berakhir pada Ahad, 30 Jun 2019.

Namun, ia mungkin akan dilanjutkan mengikut perkembangan semasa di tapak pembinaan.

Sebagai alternatif, pengguna yang ingin ke Bandar Baru Sri Petaling, Salak Selatan dan Kampung Malaysia Tambahan boleh membuat pusingan ‘U’ di Persimpangan Awan Kecil (Jalan Barat) seterusnya memasuki semula Lebuhraya KESAS dan lencong ke kiri ke Jalan Merah Caga.

Langkah-langkah keselamatan seperti kawalan lalu lintas, pemasangan kon keselamatan, papan tanda amaran, penghadang plastik dan konkrit akan ditempatkan di kawasan berkenaan.

Di samping itu, Emergency Response Team (ERT) SUKE juga akan bertugas 24 jam di kawasan terlibat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pengguna jalan raya diminta agar berhati-hati dan mematuhi arahan kakitangan dan papan tanda di sekitar kawasan terbabit.
Pihak kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi semasa proses pembinaan ini. – MalaysiaGazette