KUALA LUMPUR – Kejadian orang awam menahan anggota polis yang sedang bertugas bukan lagi perkara biasa di negara ini.

Selepas kejadian mengejutkan pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April lalu, perkara sama turut tular di media sosial membabitkan sekumpulan orang awam dengan seorang anggota polis trafik bermotosikal.

Dalam klip video berdurasi 59 saat yang tular di media sosial sejak semalam, seorang anggota polis trafik bermotosikal ditahan sekumpulan lelaki di satu kawasan yang tidak dinyatakan lokasi dan waktu, untuk membuat pemeriksaan.

Anggota polis itu dilihat akur dengan desakan kumpulan lelaki terbabit yang memaksanya membuka tempat simpanan pada motosikal berkuasa tinggi berkenaan.

Dalam kejadian pada waktu malam itu, tidak ada ‘barang’ disyaki oleh kumpulan lelaki terbabit dibawa oleh anggota polis berkenaan.

Anggota polis itu kemudian ‘dilepaskan’ pergi.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, kejadian itu berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei tahun lalu.

Menurutnya, ia berlaku di satu lokasi di Johor Bahru, namun tidak ada sebarang kenyataan dibuat pihak berkuasa berhubung kejadian itu.

Dalam kejadian, pada 13 April lalu, sekumpulan penyokong parti Pakatan Harapan (PH) menahan kereta peronda polis yang dinaiki dua anggota di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau.

Mereka bertindak demikian, dipercayai kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian. – MalaysiaGazette