Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mendedahkan identiti pemimpin parti itu yang dikatakan bertanggungjawab menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada sebarang halangan untuk Presiden PKR itu berbuat demikian dan pihaknya sedia menunggu pendedahan berkenaan sebelum membuat kenyataan lanjut.

“Terpulang pada dia, biarlah dia dedah dulu siapa pemimpin itu, barulah kita buat kenyataan nanti.

“Kita tiada bukti (tuduhan itu) kerana kita bergerak sendiri, barangkali kalau dihimpunkan derma-derma Pas dalam setiap ceramah sepanjang tahun, sudah lebih daripada RM90 juta (diperolehi), kita boleh buat beribu Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) seluruh negara hanya menerusi sumbangan kita sendiri,” katanya lapor Sinar Harian.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Perak kali ke 36 di Felda Residence Hot Spring, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa identiti pemimpin Pas yang bertanggungjawab menerima wang daripada UMNO akan didedahkan sedikit masa lagi.

Kenyataan itu dibuat dalam satu forum bersama siswa Universiti Sains Islam Malaysia ketika ditanya sekiranya kes itu hanyalah satu isu untuk dibangkitkan semasa pilihan raya.

Abdul Hadi turut mencabar Ahli Parlimen Port Dickson itu berani mendedahkan sumber dana politik yang sebelum ini diwar-warkan diperolehi dari luar negara.

Ini kerana, katanya, Pas juga mempunyai maklumat bahawa ada pemimpin politik lain yang menerima bantuan wang dari luar negara dalam jumlah yang besar.

“Kita sendiri pun ada kenyataan pemimpin lain terima bantuan luar negara dalam jumlah yang sangat besar..itu lagi haram.

“Jadi janganlah kerajaan nak siasat kita saja, kerajaan perlu siasat lain juga, barulah adil,” katanya. – MalaysiaGazette