Bekas pekerja kontrak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Sallehudin Saad bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Tindakan menurunkan gred secara keterlaluan iaitu daripada pegawai 41 kepada pembantu tadbir 19 sebenarnya sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.

Malah pekerja kontrak yang telah berkhidmat dengan  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ditukar kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tahun lepas, Sallehuddin Saad mengakui dirinya cukup terkesan dan terkejut.

Dia yang telah berkhidmat dengan SPAD selama lebih dua tahun sempat diberikan pampasan sebanyak RM5,000 dan terpaksa menganggur selama lebih tujuh bulan sebelum ditawarkan kembali jawatan dari pegawai gred 41 kepada pembantu tadbir.

“Duit pampasan itu tidak cukup, tambahan pula selepas lebih tujuh bulan menunggu seperti yang dijanjikan, akhirnya saya diberikan tawaran yang jauh lebih rendah walaupun saya mempunyai kelulusan ijazah pertama. Memang terkejut dan rasa sungguh tidak adil.

“Kita pernah beberapa kali cuba bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke namun hasilnya cukup mengecewakan sebenarnya. Setelah penat berjuang, barulah kami tampil ke hadapan kerana apa yang mereka (PH) lakukan ini sungguh tidak adil.

“Mungin ini adalah cara mereka putihkan penjawat awam tetapi ini salah, YB Anthony Loke, minta maaf sangat-sangat. Cara kamu salah dan kami sudah menjelaskan kepada kamu tetapi suara kami ini tidak di dengari,” katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah sebentar tadi.

Jelas Sallehuddin lagi, dia tidak akan menerima tawaran tersebut tetapi pada masa yang juga memikirkan tentang masa depannya yang kini menjadi tanda soal.

“Saya juga tahu tindakan saya ini mungkin akan menyebabkan nama saya disenarai hitam dalam SPA. Tapi apakan daya saya, saya perlu suarakan dalam satu saluran yang boleh di dengari umum. Dengarlah rintihan kami ini,” ujarnya hiba.

Dalam pada itu, seorang lagi, kekas eksekutif SPAD yang menjadi viral sejak beberapa hari lepas, Mohd. Aizat Ibrahim, 32, melahirkan rasa terharu selepas permohonan maaf olehnya di terima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Malah kata Mohd. Aizat, beliau tidak menyangka hati Najib yang seringkali menjadi mangsa caciannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 kerana termakan dengan apa yang disajikan oleh pembangkang ketika ini kerajaan begitu besar.

“Beliau tidak dengar sangat apa yang telah saya buat terhadapnya sebaliknya jauh lebih prihatin dengan nasib yang menimpa saya. Sesungguhnya saya kesal sangat. Maafkan saya Datuk Seri.

“Dulu saya sangat berdendam apatah lagi seringkali mendengar tentang penipuan skandal  1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan oleh Datuk Seri Najib menggunakan wang rakyat. Hakikatnya kini kebenaran semakin terserlah.

“Saya minta maaf, saya kesal yang amat sangat. Saya juga mungkin tidak ada cara lain selain menerima tawaran yang diberikan kerajaan untuk bekerja di Sarawak dan meninggalkan anak saya yang baharu lahir,” tangisnya.

Mohd. Aizat mendakwa beliau beberapa kali membuat rayuan tetapi hanya pada 16 April lalu ditawarkan menjadi pembantu tadbir Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKPS) dengan menggunakan kelayakan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Jika beliau menerima tawaran itu, Mohd. Aizat akan melapor diri pada 5 Mei ini.

Buat masa ini, Mohd. Aizat yang merupakan lulusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia masih menganggur.

Mengulas lanjut, beliau yang memegang jawatan terakhir sebagai Eksekutif ICOP Keselamatan di SPAD berharap PH membuat perubahan besar selepas diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu. –MalaysiaGazette