Antara barisan pengacara dan barisan selebriti Bazaar Raya Kuala Lumpur (BRKL 2019) bergambar kenangan pada sidang media Bazaar Raya KL 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Ramai selebriti tanah air akan mengambil bahagian dalam penganjuran bazar terbesar di ibu kota Bazaar Raya Kuala Lumpur 2019 (BRKL) tidak lama lagi.

Kira-kira 30 artis popular akan terlibat dalam bazar sempena hari raya yang bermula 16 Mei hingga 4 Jun 2019 itu.

Bazar berkonsepkan kekeluargaan dan produk tempatan, BRKL akan diadakan di Dewan Tun Razak 1 & 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Ia dianjurkan oleh Agenda Sepadu Sdn Bhd.

Antara selebriti mengambil bahagian seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle dan juga tidak ketinggalan nama-nama popular seperti Datuk Aznil Nawawi, Siti Sarah, Zara Zya, Alif Satar, Datin Alyah, Datuk Hattan, Aiman Tino dan ramai lagi.

MGF22042019_PC BAZAAR RAYA KUALA LUMPUR 201921
Antara barisan pengacara dan barisan selebriti Bazaar Raya Kuala Lumpur (BRKL 2019) bergambar kenangan sambil menunjukkan baju t-shirt BRKL 2019 pada sidang media Bazaar Raya KL 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2019

Pengarah BRKL, Shawn Zain berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai pengisian menarik buat pengunjung dan juga tidak ketinggalan usahawan yang menyertai bazar selama 20 hari berkenaan.

Apatah lagi dengan adanya barisan selebriti terkenal dan juga pengacara popular tanah air, beliau percaya bazar terbesar itu akan menarik perhatian ramai terutama buat warga kota.

“Menariknya kerana kami menyediakan pakej viral iaitu Rocketing Viral Inbosz secara percuma kepada semua usawahan yang menyertai BRKL bagi memberi kelebihan kepada mereka untuk memperkenenalkan produk jualan masing-masing secara talian.

“Menerusi pakej itu, kami akan menyediakan 3 jalan cerita yang bebeza kepada setiap usahawan dan video-video viral berkenaan akan diviralkan secara online selama tiga minggu,” katanya pada sidang media hari ini.

BRKL dibuka kepada pengunjung setiap hari dari jam 10 pagi hingga 12 malam dengan mengetengahkan pelbagai produk seperti fesyen, kuih-muih, perhiasan dalaman dan keperluan bagi meraikan Aidilfitri.

MGF22042019_PC BAZAAR RAYA KUALA LUMPUR 201906
Pengarah Acara Bazaar Raya KL 2019 (BRZKL 2019), Shawn Zain bercakap kepada media pada sidang media Bazaar Raya KL 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2019

Tambah Shawn, pihak BRKL juga akan bekerjasama dengan Touch & Go bagi memberi kelebihan kepada pengunjung untuk menikmati rebat tunai istimewa sepanjang bazar berkenaan diadakan.

Sementara itu, BRKL menyasarkan bakal menerima 500,000 orang pengunjung sepanjang 20 hari bazar itu berlangsung.
Angka berkenaan berpandukan kedudukan strategik BRKL yang dianjurkan di dalam kawasan indoor dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti LRT dan bas Rapid KL.

Pada sidang media BRKL telah diadakan di Pelantara Putra PWTC hari ini, penganjur berkata, pihaknya akan memberi kelebihan kepada usahawan untuk menikmati potongan harga istimewa.

“Saya percaya, dengan adanya barisan pengacara popular yang telah bersetuju menyertai bazar ini, mereka akan menghangatkan BRKL dengan celoteh masing-masing.

“Kami juga merancang untuk menganjurkan sesi berbuka puasa bersama-sama individu yang kurang bernasib dan sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada rumah kebajikan terpilih,” katanya.

BRKL 2019 bakal dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof pada 16 Jun ini.

Acara turut disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di dalam mempromosikan tempat yang menarik untuk dilawati pada bulan Ramadan nanti.

Tidak ketinggalan sebuah program mesra rakyat iaitu program bubur lambuk pada setiap petang bertujuan sebagai juadah berbuka puasa kepada setiap pengunjung.

Kepada yang berminat untuk menyertai BRKL boleh menghubungi Sekretariat BRKL 2019 di talian 011-3690 4037.- MalaysiaGazette