Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pas telah terbukti tidak pernah menafikan hak kaum bukan Islam.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam sejarah 60 tahun BN memerintah, tiada satu pun kaum-kaum lain selain Melayu dipinggirkan dan menghormati antara satu sama lain.

“Begitu juga terbukti bahawa kerajaan Pas di Kelantan selama mereka memerintah lebih 25 tahun tidak ada satu pun dipinggirkan, kerajaan Pas Kelantan cukup menjaga kaum-kaum lain selain melayu, bukan sahaja di Kelantan, malah kerajaan Pas di Terengganu pun sama,” katanya dipetik dari UMNO Online.

Beliau berkata demikian pada Majlis Permuafakatan Ummah Gombak dekat sini malam tadi.

Menurut Shamsul Anuar yang juga juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, kesepakatan UMNO dan Pas telah diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan memperoleh kemenangan di PRK Semenyih dan Rantau baru-baru ini.

“Ini bukan hanya kemenangan orang Melayu semata-mata tetapi kemenangan untuk semua kaum, dan jika kita lihat kedua-dua parti orang Melayu ini bersatu dengan erat, tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menjadi kuasa besar dalam politik di Malaysia ini.

“Saya percaya kita bersatu kerana nama Allah dan Islam serta berkat doa rakyat Malaysia yang inginkan UMNO dan Pas ini bersama, insya-Allah… kita akan berjaya,” jelasnya lagi.

Menurutnya, permuafakatan ummah yang dilakukan oleh UMNO dan Pas adalah suatu realiti dan bukan retorik.

Katanya, walaupun dua parti itu berbeza pendekatan tetapi tetap mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin mengangkat martabat agama, bangsa dan negara serta dihormati semua lapisan masyarakat.

“Kita berhadapan dengan kerajaan yang mentadbir tidak mengikut rule of law tetapi rule of jungle… kita berhadapan kerajaan hari ini yang jelas terbukti tidak mampu mempertahankan agama Islam, orang Melayu dan bumiputera malah kerajaan hari ini tidak mampu membela kepentingan rakyat.

“Kehidupan rakyat semakin menderita akibat harga barang naik, kos sara hidup meningkat, bantuan kebajikan dikurangkan yang memberi makna kita berhadapan dengan kerajaan yang tidak mampu menjaga rakyat.

“Yakinlah…kesepakatan UMNO dan Pas ini memberikan impak kebaikan yang sangat baik kepada semua rakyat dan tiada bukti yang mengatakan selama ini kita mengetepikan kaum-kaum lain,” katanya.- MalaysiaGazette