Wa Lone (kiri) dan Kyaw Soe Oo. foto Agensi

NAYPYITAW – Mahkamah Tinggi Myanmar menolak rayuan dua wartawan Reuters yang dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi.

“Mereka dihukum selama tujuh tahun dan keputusan ini kekal dan rayuan itu ditolak,” kata Hakim Mahkamah Agung, Soe Naing tanpa mengulas lanjut.

Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, telah dipenjarakan lebih daripada 16 bulan selepas ditahan pada Disember 2017 semasa melakukan siasatan terhadap pembunuhan 10 lelaki Rohingya.

Peguam bagi kedua-dua wartawan itu telah merayu kepada Mahkamah Agung kerana mendakwa mahkamah kekurangan bukti dan mereka telah dianiaya oleh polis.

Ia berdasarkan keterangan seorang anggota polis yang memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa pegawai polis telah menyerahkan dokumen rahsia kepada dua wartawan tersebut.

Penahanan pemberita telah mencetuskan bantahan daripada pendukung kebebasan akhbar, diplomat barat, dan pemimpin dunia, sambil memberi tekanan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengambil alih kuasa pada 2016 di tengah-tengah peralihan kepada demokrasi daripada pemerintahan tentera.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meminta pegawai tentera berpangkat tinggi untuk didakwa atas jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai atas tindakan keras yang berlaku pada tahun 2017 terhadap penduduk Rohingya sebagai tindak balas terhadap serangan pemberontak di bahagian barat negara ini.

Siasatan yang dijalankan oleh dua wartawan itu membongkar penglibatan pasukan keselamatan dalam pembunuhan, dan pembakaran dan diterbitkan pada 2018.

Minggu lalu berita itu dianugerahkan hadiah Pulitzer untuk pelaporan antarabangsa.

Kedua-dua lelaki itu ditahan di penjara Insein Yangon. Isteri Wa Lone, Panei Mon, melahirkan anak pertama mereka pada tahun lepas. – MalaysiaGazette