Presiden IKHLAS Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) dan peniaga-peniaga Pasar Borong Selangor bergambar bersama selepas sidang media oleh IKHLAS Malaysia bersama peniaga-peniaga Pasar Borong Selangor berkaitan isu pekerja asing dan pendatang tanpa izin (PATI) serta Penubuhan Jawatankuasa Khas menangani pendatang tanpa izin (PATI) di Restoran Kibar, Pasar Borong Selangor, Sri Kembangan, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 23 APRIL 2019.

SERI KEMBANGAN – Satu kaedah untuk menangani masalah pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasar Borong Selangor akan dibawa kepada kerajaan awal bulan depan.

Usul tersebut yang akan dibincangkan bersama dengan empat buah kementerian diselia oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh para peniaga di pasar borong berkenaan, kata Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah.

Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Mohd. Ridzuan, ia melibatkan sebilangan 320 pemilik lot di pasar borong itu dan campurtangan daripada mereka perlu dalam menyelesaikan isu yang dilihat tidak berkesudahan.

“Kita lihat isu menangani PATI ini tak pernah selesai. Ikhlas sudah kenal pasti dan nampak satu kaedah.

“Kita akan bawa kepada menteri dan wakil-wakil peniaga untuk beri kaedah macam mana nak selesaikan isu ini. Kita nak bantu peniaga yang betul-betul mahu berniaga di pasar borong ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibuat selepas beliau dimaklumkan kerajaan hanya akan bertindak berdasarkan laporan yang diterima daripada keseluruhan pemilik lot pasar borong yang berdepan dengan masalah berkenaan.

Katanya, pihak yang terlibat perlu mengambil perhatian serius dalam mengatasi isu itu kerana apa yang berlaku ketika ini tidak pernah selesai meskipun pelbagai tindakan diambil oleh kerajaan sebelum ini.

MGF2304019_PC IKHLAS PENIAGA PASAR BORONG54
Mohd Ridzuan Abdullah

“Kita nak bantu 320 peniaga ini dan kita dah dapat satu kaedah. Kita nak selesaikan untuk jangka masa panjang. Kita tak nak penguatkuasa tangkap (PATI) dan kemudian lepas. Kita nak duduk bersama menteri untuk memudahkan kerja.

“Sekarang ini kebanyakannya menteri-menteri baru dan mungkin tiada pengalaman. Kita orang bawah tahu selok- belok untuk tangani masalah ini.

“Minta pihak yang berkenaan ambil dan kebanyakan peniaga dah setuju untuk bantu kementerian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, setakat ini kira-kira 120 pemilik lot telah bersetuju dengan langkah yang diambil oleh jawatankuasa yang ditubuhkan dan yakin kesemua pemilik lot akan turut memberikan kerjasama.

Ujarnya, jika dalam tempoh yang diberikan iaitu sehingga hujung bulan ini jumlah persetujuan tidak dapat dicapai sepenuhnya maka, pihaknya akan memaklumkan kepada kementerian berkenaan bahawa mereka itu tidak dapat dikesan.

“Jadi, kita berharap pemilik lot akan sama-sama menyetujui apa yang hendak dilakukan demi kebaikan bersama.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berkata, pendekatan yang diambil oleh pemilik lot dan Ikhlas adalah mengambil kira ketegasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu apabila mahu membasmi kebanjiran PATI yang berleluasa di negara ini.

Jelasnya, sistem yang diguna pakai oleh agensi penguatkuasa perlu diubah dan jalan penyelesaiannya boleh dilakukan dengan mengambil kira kaedah yang akan diusulkam oleh pemilik lot berkenaan yang sudah mempunyai pengalaman melalui situasi itu lebih 18 tahun lalu. – MalaysiaGazette