Peniaga, Mohd Sani Shamsuri, 40, bercakap pada sidang media oleh IKHLAS Malaysia bersama peniaga-peniaga Pasar Borong Selangor berkaitan isu pekerja asing dan pendatang tanpa izin (PATI) serta Penubuhan Jawatankuasa Khas menangani pendatang tanpa izin (PATI) di Restoran Kibar, Pasar Borong Selangor, Sri Kembangan, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 23 APRIL 2019.

SERI KEMBANGAN – Pemilik-pemilik lot di Pasar Borong Selangor diminta supaya bersatu hati dalam menyokong usul yang hendak dibawa kepada kerajaan bagi menyelesaikan masalah pekerja asing tanpa izin (PATI) di pasar berkenaan.

Rata-rata yang menyokong langkah Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang mahu mengemukakan kaedah dan jalan penyelesaian berkaitan perkara itu kepada kerajaan memberitahu, kerjasama daripada semua pemilik lot di pasar borong berkenaan mampu menjadikan usaha menangani masalah PATI lebih berkesan.

Seorang peniaga santan segar, Mohd Sani Shamsuri, 40, berkata, masalah PATI yang diambil terlalu ramai oleh sesetengah pemborong telah menimbulkan senario luar biasa di Pasar Borong Selangor.

Katanya, dengan adanya jawatankuasa yang baru ditubuhkan masalah kebanjiran pekerja pasti dapat diselesaikan dengan cara yang lebih agresif.

“Pada pandangan saya jawatankuasa yang ditubuhkan ini sangat bagus dan penting. Kita akan jadi lebih kuat dan pihak luar tidak mudah mengambil kesempatan.

“Kita kena bersatu, kita kena bangun dengan imej yang baru agar maruah dan perniagaan kita dapat dipulihkan,” katanya.

Tambah beliau, menerusi jawatankuasa itu juga banyak manfaat akan diperoleh oleh peniaga-peniaga di pasar berkenaan, sekaligus mengembalikan suasana harmoni dan sihat dalam perniagaan yang telah dibina sejak sekian lama.

Seorang lagi pemilik lot, S. Saravanan, 40 berkata, masalah lambakan pekerja PATI di Pasar Borong Selangor kini dilihat sudah semakin serius.

MGF2304019_PC IKHLAS PENIAGA PASAR BORONG58
S. Saravanan

Ini kerana katanya, lambakan pekerja PATI yang terlalu ramai telah menyebabkan perniagaan pemilik-pemilik asal merosot dan ia menjadi permasalahan yang membimbangkan.

“Ini bukan masalah baru, perkara ini dah jadi sejak 18 tahun lalu.

“Kita nak kerajaan beri perhatian tentang masalah ini kerana mereka (PATI) sudah menjejaskan periuk nasi kami,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga ayam, Zaki Abd Rahman, 60, berkata, beliau sememangnya mengharapkan adanya perubahan berlaku di Pasar Borong Selangor.

MGF2304019_PC IKHLAS PENIAGA PASAR BORONG57
Zaki Abdul Rahman

Ujarnya, beliau tidak lagi mahu adanya pandangan negatif dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang boleh menjejaskan aktviti perniagaan di situ.

“Saya berharap agar aktiviti perniagaan di sini kembali pulih dan perkara utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah dengan membersihkan lambakan pekerja PATI yang ada.

“Kami peniaga di sini juga berharap agar kerajaan lebih tegas dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi menerusi kaedah yang dicadangkan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam satu sidang media hari ini, Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah menegaskan, satu kaedah untuk menangani masalah PATI di Pasar Borong Selangor akan dibawa kepada kerajaan awal bulan depan.

MGF2304019_PC IKHLAS PENIAGA PASAR BORONG55
Mohd Ridzuan Abdullah

Katanya, usul tersebut yang akan dibincangkan bersama dengan empat buah kementerian diselia oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh peniaga-peniaga di pasar borong berkenaan.

Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – MalaysiaGazette

Kaedah tangani PATI akan diusul kepada menteri

1 Komen

  1. takkan nak hantar pergi kursus ijazah sarjana muda imigren management diluar negara baru boleh handle imigren

Comments are closed.