Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.
Abdul Aziz Bari

IPOH – “Saya tidak mempunyai rancangan untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,” demikian tegas Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ditentukan oleh Majlis Pakatan Harapan (PH) serta pimpinan parti sebelum mendapat perkenan istana.

“Bodoh jika saya jatuhkan Menteri Besar sendirian, tidak logik. Saya akan ikut pendirian DAP untuk menyokong Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak dan akan terus berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas,” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris mengenai kenyataan beliau yang antaranya mengkritik Menteri Besar dan mendakwa sanggup ‘menukar baju’ dari DAP kepada Bersatu jika itu diperlukan untuk menjadikannya Menteri Besar Perak.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri berkata, laporan akhbar itu tidak tepat dan mengelirukan.

“Saya akan tetap setia sebagai ahli DAP dan isu pertukaran baju kepada parti politik lain tidak timbul. Saya menyeru kepada semua pihak supaya tidak mempercayai pembohongan pembangkang sebaliknya menyokong usaha kerajaan PH fokus kepada pembangunan negara serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, beliau percaya kepada kebebasan media, malah telah berjuang untuknya sebelum menjadi wakil rakyat.

“Namun, kebebasan akhbar ini boleh disalah gunakan, boleh silap, wartawan bukan malaikat, ada agenda yang ditentukan oleh pemilik akhbar, wartawan juga manusia biasa,” katanya. – Bernama