MFL denda tujuh pasukan liga yang gagal memathui peraturan yang ditetapkan

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mendenda tujuh pasukan Liga Malaysia dengan memotong 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 kerana gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan yang didenda adalah Kuala Lumpur, Felda United FC dan Melaka yang beraksi dalam Liga Super manakala Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang bermain dalam Liga Premier.

Selain itu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Lima pasukan ini dan Melaka diwajibkan menyerahkan dokumen/pelan yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini kepada MFL.

Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan dikenakan pemotongan sebanyak 3 mata.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan hukuman itu telah diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah badan tersebut dan semua pasukan berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

“Untuk makluman semua kita telah memaklumkan kepada tujuh pasukan yang terlibat tentang keputusan yang telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini di mana daripada lima pasukan itu telah mengulangi kesalahan berulang bagi dua tahun berturut-turut manakala dua pasukan lagi melakukan kesalahan pertama.

“Bagi lima pasukan yang melakukan kesalahan berulang, mereka telah dikenakan hukuman tambahan iaitu larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang.

“Sementara itu pasukan-pasukan yang masih memiliki baki dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran terutama berkait dengan kewangan, mereka diberikan masa selama 30 hari untuk kemaskini dokumen berkenaan.

“Mereka akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata jika gagal menyerahkan dokumen seperti yang dikehendaki dalam tempoh 30 hari tersebut,” katanya dalam laman facebook MFL.

Setakat ini, hanya Felda United FC telah menyerahkan semua dokumen diperlukan kepada MFL. – MalaysiaGazette