Mangsa penipuan sindiket di Kemboja

KUCHING – Polis menahan seorang suspek yang paling dikehendaki berkaitan kes penipuan pekerjaan melibatkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 12.20 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak (JSJK) Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata suspek berumur 26 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Kuching esok sekiranya siasatan belum diselesaikan dalam masa 24 jam,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata suspek ditahan bersabit lima kertas siasatan kerana menipu lima mangsa terbabit dan sebelum ini polis sudah menahan seorang lelaki yang dikehendaki iaitu Lai King Loong, 31, bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Pricha Azin di talian 019-889 7640 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, dua suspek yang ditahan pada 25 Feb lepas, iaitu seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berumur 35 tahun telah pun dibebaskan dengan jaminan polis.

— BERNAMA