Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk meneroka potensi kerjasama membangunkan makanan haiwan berasaskan Hampas Isirung Sawit (PKC).

DVC adalah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA)

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada perancangan strategik untuk menembusi dan memperluaskan penawaran produk ‘Sisa kepada Pendapatan’ dalam pasaran baharu yang berkaitan dengan perniagaan teras.

“FGV adalah pengeluar terbesar PKC dengan menghasilkan 380,000 MT setiap tahun dan 97 peratus daripada hasil ini adalah untuk pasaran eksport.

“PKC digunakan sebagai bahan asas untuk membuat makanan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing. Kami berharap dengan kerjasama ini, kami boleh menawarkan produk makanan haiwan premium pada harga yang kompetitif dan membantu penternak-penternak untuk mengurangkan kos makanan haiwan mereka,” kata beliau.

PKC adalah produk sampingan selepas isirung sawit diproses dan boleh digunakan sebagai bahan mentah alternatif untuk bahan makanan haiwan.

Harga PKC adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga bahan lain seperti kacang soya, jagung dan gandum yang juga banyak digunakan dalam makanan haiwan.

Melalui kerjasama ini, DVS akan membantu strategi ‘Feed Meal’ FGV dalam pasaran domestik dan antarabangsa, memberi panduan mengenai program ruminan yang berkesan, membantu membangunkan Model Perniagaan Perternakan Lembu – tenusu atau daging, memberi nasihat mengenai geran kerajaan, insentif, subsidi dan lain-lain bantuan yang bersesuaian untuk FGV.

Tujuan asas penerokaan projek berkaitan peternakan lembu ini adalah untuk mewujudkan cabang perniagaan baharu, kerana kami telah bergantung terlalu lama kepada satu jenis perniagaan. Perniagaan baharu ini merupakan batu loncatan buat kedua-dua cabang Makanan Haiwan dan Perternakan Lembu kerana ia menjadi aliran pendapatan baharu kepada FGV yang meyakinkan, penting dan mampan.

Perniagaan PKC atau mana-mana segmen Lembu (Susu atau Daging) pasti akan mewujudkan sinergi semula jadi antara Hiliran (operasi kilang dan kepelbagaian produk yang lebih luas), R&D (makanan, genetik, kualiti susu) dan Logistik (saluran pengedaran). Dua komponen kos yang penting dalam perniagaan penternakan lembu adalah tanah yang luas dan makanan lembu, yang kami sudah pun miliki.

Selain daripada itu, FGV juga ingin mengatasi jurang kebergantungan dalam bekalan susu dan daging negara.

“Dengan memanfaatkan kelebihan kami dalam R&D dan Hiliran, kami berharap agar projek ini dapat mencapai impak yang besar dalam 3 tahun akan datang,” ujarnya.

Anak syarikat milik penuh FGV, FGV Kernel Products Sdn Bhd  akan dapat memanfaatkan platform DVS yang penuh dengan pengalaman dan kepakaran untuk meningkatkan kualiti produk PKC serta mengembangkan jangkauan pasaran di rantau ini dan seluruh dunia.

Menurut laporan DVS, Malaysia mengimport 4 juta MT makanan haiwan pada tahun 2017 dengan nilai RM7 bilion. Produk PKC FGV berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan industri pertanian Malaysia dalam sumber luar untuk makanan haiwan.

“Kerjasama ini akan melengkapkan pelan MoA untuk memastikan kestabilan bekalan makanan haiwan dan harga makanan negara dengan menekankan kepada ruminan dan pelaburan sektor swasta dalam bidang pertanian,” kata Haris. – MalaysiaGazette