Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media pada Majlis Makan Malam Gala 50 Tahun MABOPA di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 APRIL 2019

PETALING JAYA – Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail sengaja mahu membatalkan pembangunan  di Taman Rimba Kiara.

Kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, tujuan pembangunan bukan sahaja demi keuntungan pemaju malah untuk membangunkan kediaman baharu kepada penduduk rumah panjang yang telah 38 tahun menetap di situ.

“Jadi semua cakap-cakap ada konflik kepentingan itu dan ini semua semua bertujuan untuk menggagalkan projek itu.

“Bagi saya projek itu perlu kita jalankan penghuni rumah panjang selepas 38 tahun mendapat keadilan.

“Kalau kita gagal, penghuni rumah panjang nak pergi mana?,” katanya kepada pemberita selesai majlis Malam Gala Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).

Beliau yang menempelak penduduk TTDI menegaskan, sepatutnya mereka bertimbang rasa untuk merelakan pembangunan di kawasan itu demi keselesaan bersama-sama penghuni rumah panjang.

“Jadi takkan tak rasa apa-apa, kamu menikmati kemajuan dan pembangunan atas air mata dan kesedihan penghuni rumah panjang.

“Kompromi lah sikit biar mereka dapat rumah mereka,” katanya lagi.

Untuk rekod, persatuan penduduk tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan membabitkan projek pembangunan Taman Timba Kiara.

Mereka mendakwa wujud konflik kepentingan apabila Khalid yang merupakan Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan terlibat dalam pembangunan kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, memegang jawatan itu tidak bercanggah dengan ketetapan yayasan tersebut.

“Perlembagaan (ketetapan) Yayasan Wilayah Persekutuan menyebutkan bahawa Pengerusinya Menteri Wilayah,” ujar Khalid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast