Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Hari Imunisasi di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

BANGI – Kabinet akan membincangkan penubuhan pasukan petugas khas Kementerian Kesihatan (KKM) pada 8 Mei ini sebagai langkah merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan imunisasi vaksin di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua pelan yang akan dibincangkan telah disediakan oleh KKM dan ia masih lagi diteliti.

“Kepentingan imunisasi itu merupakan satu pilihan. Tapi, apapun kita harapkan agar ibu bapa dapat mengambil langkah bijak dalam usaha memastikan kesihatan anak-anak mereka berada ditahap optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2019 di di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai hasrat KKM yang mahu menubuhkan pasukan khas itu ekoran terdapatnya tindakan agresif oleh golongan anti vaksin yang giat menggunakan media sosial untuk menyampaikan maklumat palsu berhubung perkara itu kepada umum.

Sebelum ini, Dzulkefly pernah memberitahu satu pasukan petugas khas akan digerakkan oleh kementerian berkenaan dan ia akan diketui Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga kementerian.

Ujarnya, cadangan itu diusulkan oleh beliau sendiri ke mesyuarat Kabinet sebagai satu pendirian tegas kerajaan agar gejala penyakit tidak merebak di negara ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama Dzulkefly berkata, KKM akan memohon peruntukan dalam Belanjawan 2020 untuk memberi suntikan vaksin pneumokokal secara percuma kepada rakyat.

Katanya, walaupun suntikan sebanyak dua dos itu mahal, kerajaan akan cuba merealisasikan kerana ia antara janji Pakatan Harapan pada PRU lalu

“Kalau ia gagal kita akan terus memohon kerana itu janji kami dalam manifesto yang telah diumumkan,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis sambutan tersebut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Majlis sambutan anjuran KKM yang diadakan seawal pukul 7 pagi itu dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung.

Ia diadakan bagi meningkatan kesedaran masyarakat tentang imunisasi sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling efektif. – MalaysiaGazette