MACHANG – Tiada cadangan pada masa terdekat untuk membuka peluang kepada bukan bumiputera memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebaliknya universiti itu akan berusaha meningkatkan keupayaan persaingannya selaras perubahan industri global yang pesat berkembang.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad berkata, berasaskan situasi itu, pihaknya sedang berusaha menambah baik kurikulum sedia ada kerana pastinya terdapat jurang yang perlu ditokok tambah dan disesuaikan dengan perubahan semasa.

“Jika tidak dilakukan dalam tempoh terdekat, mungkin graduan bumiputera yang dikeluarkan setiap tahun pada masa akan datang, sukar mendapatkan peluang pekerjaan di pelbagai sektor industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Research, Industry & Alummni Community (RelACT DAY 2019 di UiTM di sini, hari ini.

Turut hadir Rektor UiTM Kelantan Prof Madya Dr Tuan Rosli Tuan Hassan dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni Dr Syerina Azlin Md Nasir.

Beliau berkata, ketika diminta mengulas kebimbangan pelbagai pihak bahawa jumlah kemasukan pelajar bumiputera ke dalam universiti itu akan berkurangan, jika kerajaan melayan desakan pihak tertentu agar UiTM membuka ruang kepada bukan bumiputera.

Syed Zainal berkata, terdapat beberapa cadangan supaya UiTM memberi ruang kepada pelajar bukan bumiputera, untuk meningkatkan daya saing bumiputera, tetapi yang lebih penting sekarang perhatian perlu diberikan dalam kaedah yang berbeza.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga bercadang akan menarik minat 750,000 alumni UiTM kembali bagi membantu dalam bentuk tenaga mengikut kepakaran masing-masing dan menyumbang dalam dana wakaf yang ditubuhkan.

Katanya, mereka terdiri daripada pelbagai golongan termasuk tokoh korporat, arkitek dan professor yang lebih berkemampuan untuk memberi sumbangan yang lebih bermakna.

Beliau berkata, menerusi dana itu UiTM boleh mengeluarkan biasiswa kepada pelajar terutama kepada pelajar miskin yang sangat memerlukan sumbangan. – MalaysiaGazette