KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan membubarkan tiga pasukan khas polis perlu dikaji semula.
Ini kerana, pasukan elit itu telah terbukti keberkesanannya dalam membanteras jenayah terancang, kongsi gelap, penyeludupan dan pemprosesan dadah sejak ditubuhkan.
Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, pembubaran Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dianggap tidak tepat serta tidak kena pada masanya.
“Ini berikutan masih terdapat lagi kegiatan kongsi gelap, jenayah terancang, penyeludupan serta memproses dadah yang agak membimbangkan walaupun masih terkawal dan banyak yang telah berjaya dibanteras oleh polis.
“Sejak penubuhan pasukan elit khas itu, secara umumnya boleh dilihat kejayaan pasukan berkenaan dalam operasi mereka membenteras kegiatan jenayah di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, banyak kegiatan kongsi gelap dan jenayah terancang ditumpaskan serta aktiviti pemprosesan dan penyeludupan dadah ditewaskan dengan rampasan mencapai jumlah cukup besar hingga mencecah puluhan juta ringgit.
“Dengan banyak kejayaan diperolehi pasukan elit khas ini sejak penubuhannya, adalah lebih wajar mengekalkannya daripada membubarkannya.
“Menjadi kebiasaan pembubaran sesebuah pasukan jika ianya tidak berkesan, tidak efektif atau tidak mencapai objektif penubuhannya, namun membubarkan pasukan yang berjaya dan cukup berwibawa adalah keputusan tidak tepat malah cukup meragukan,” katanya.
Muhammad Khalil berkata, DPPM tidak mahu kerajaan membubarkannya tanpa kajian menyeluruh dan mendalam serta sebab munasabah.
“Kita juga tidak mahu kerajaan tunduk pada tekanan mana-mana pihak dalam menyelia urus tadbir polis.
“Mungkin masih terdapat kelemahan dalam PDRM namun ia boleh diperbaiki dan diatasi kelemahan itu.
“Walaupun polis sedang melalui fasa penstrukturan semula, lebih baik mengekalkan pasukan elit khas yang terbukti keberkesanannya daripada membubarkannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette