KUALA LUMPUR – Golongan usahawan online yang yang menggunakan strategi ‘tular’ untuk memasarkan produk jualan dinasihatkan agar tidak terlalu melampau dalam mempromosikan perniagaan mereka sehingga menolak cara Islam.
Pengasas Syarikat SifufBads Sdn. Bhd., Jamaluddin Bahari berkata, laman sosial sepatutnya digunakan untuk menyampaikan mesej baik kepada orang ramai dengan tidak memasukkan elemen negatif yang boleh merosakkan.
Begitu juga dalam perniagaan online, bukan sahaja mesej yang jelas perlu dinyatakan dalam mempromosikan iklan sebaliknya, tatacara penyampaian promosi juga mestilah tidak menjolok mata serta tidak keterlaluan.
“Kita buat bisnes ini sebab nak jadi kaya. Kenapa nak jadi kaya, sebab nak beri zakat.
“Tujuan kita beri zakat untuk nak bantu semua orang susah. Apa yang kita buat berasaskan tauhid kepada Allah.
“Allah lihat apa yang kita buat, Allah beri kelebihan dan kebesaan untuk buat perniagaan tapi mestilah dengan jalan yang betul dan diredhai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung sikap sesetengah individu yang dilihat terlalu menjolok mata dan keterlaluan ketika menggunakan laman sosial untuk mempromosikan produk dan sebagainya.
Sebelum ini, usahawan kosmetik Safiey Ilias dikecam netizen apabila memuatnaik satu rakaman berbaur lucah.
Malah, ahli perniagaan, Nur Muhammad Sajjad Kamruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat juga pernah memuat naik satu rakaman yang telah menimbulkan kontroversi dan kurang disenangi pengguna laman sosial.
Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, ramai sahaja dalam kalangan usahawan online yang menjual produk masing-masing tanpa melakukan aksi yang terlampau mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Ujarnya, mereka yang mahu berjaya dalam perniagaan perlu berpegang kepada prinsip mahu mendapatkan keberkatan dan keredhaan daripada Allah dan bukannya hanya mengejar keuntungan atau meraih populariti.
“Setiap apa yang kita buat kena fikir ia melanggar etika atau tidak.
“Kalau kita buat sesuatu yang melanggar etika mungkin bisnes itu tak boleh bertahan lama,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Jamaluddin melancarkan pemberian 100,000 buku percuma “57 Marketing Untuk Ushawan Si Pemalas” dan pelancaran Seminar Sifubads Digital Milionare di sini hari ini.
Seminar yang akan berlangsung selama tiga hari itu bermula 5 hingga 7 Julai mampu memberi manfaat besar untuk pengguna media sosial yang mahu berkecimpung dalam dunia pemasaran digital.
Program itu akan dimeriahkan dengan kehadiran 100 alumni yang telah berjaya dan bergelar jutawan selepas mengikuti program mentoring bersama SifuBads. – MalaysiaGazette