JOHOR BAHRU- UMNO Johor hari ini menyatakan sokongan kepada hasrat kerajaan hendak menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohamad berkata ketetapan itu dicapai pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

“Kita (UMNO Johor) mengambil pendirian menyokong hasrat kerajaan untuk menurunkan had usia pengundi pilihan raya kepada 18 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Beliau berkata Umno Johor juga menyokong hasrat majlis tertinggi parti agar bukan sahaja had umur diturunkan kepada 18 tetapi pendaftaran secara automatik dilaksanakan apabila mencecah umur 18.

Hasni berkata UMNO Johor berpandangan penurunan had umur tersebut memperlihatkan sistem pilihan raya yang lebih demokratik dan terbuka di negara ini.

Umno Johor malah bersedia memikul cabaran bagi mendaftarkan pengundi sekiranya kerajaan mengambil keputusan itu, katanya.– BERNAMA