Isteri Allahyarham, Rosbi Shahbudin, 60 (tengah) kelihatan sugul di sisi jenazah suaminya, Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, di kediaman mereka di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Hasrat pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, untuk menyambut satu Ramadan di kampung halamannya di Kampung Behor Mali di Perlis tidak kesampaian apabila dijemput ilahi pagi tadi.

Anak sulungnya Mohammad Yusri Abu Hassan, 45, ketika ditemui MalaysiaGazette di rumah Allahyarham di Kampung Batu Muda di sini berkata berkata, ayahnya beriya-iya benar mahu pulang ke kampung halamannya Ahad ini bersama dengan anak-anaknya.

Katanya, perkara itu juga telah diberitahu kepada kesemua tujuh orang anaknya-anaknya yang kebanyakan tinggal di luar Kuala Lumpur.

 

MGF010519_ABU HASSAN DIN AL HAFIZ MENINGGAL04

Anak Allahyarham, Yusri Abu Hassan, 45, bercakap selepas pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, meninggal dunia di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2019″Kalau nak diikutkan dia memang nak sambut puasa dengan kami adik beradik di Perlis. Tapi, apakan daya Allah lebih sayang kepadanya,” katanya yang menetap di Rawang.

Menceritkan mengenai kejadian yang berlaku kepada ayahnya pagi tadi, Mohammad Yusri berkata, Allahyarham pada mulanya sedang bersiap untuk pergi ke Ipoh bagi menghadiri satu forum yang akan berlangsung di Maahad Tahfiz di Kota Raja pagi ini.

Ujarnya, Allahyarham pagi tadi tidak bersolat di Masjid Saidina Hamzah berdekatan dengan rumah seperti kebiasaannya kerana  mahu bergegas ke program berkenaan.

Katanya, ketika sedang memakai seluar Allahyarham tiba-tiba terjatuh dan tersembam ke lantai hingga tidak sedarkan diri.

Jelas beliau, kejadian disedari ibunya, Rosbi Shahbudin, 60, yang kemudiannya memberitahu dua lagi adiknya yang kebetulan berada di rumah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.05 pagi dan keluarga kemudiannya menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.

Tambah beliau, ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur ,pasukan perubatan telah beberapa kali memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada Allahyarham namun apabila tiba di hospital doktor mengesahkan Allahyarham telah meninggal dunia.

Menurut Mohamad Yusri, Allahyarham ayahnya memang menghidap sakit jantung ketika berusia 50 tahun dan pernah membuat pembedahan pintasan serta telah beberapa kali dimasukkan ke wad akibat penyakit itu.

Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah pukul 11.30 pagi ini dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Batu Muda selepas solat Zohor.

Difahamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir bagi menziarahi jenazah Allahyarham yang kini telah berada di rumah.

Ketika berita ini ditulis, orang ramai yang mengenali Allahyarham tidak putus-putus datang bagi memberikan penghormatan yang terakhir.

Allahyarham adalah adik kepada bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada September 2016.

Arwah dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham mulai bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast