PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan memberikan keutamaan kepada pekerja warga negara dalam memastikan peluang pekerjaan tertumpu kepada mereka.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan menjadi dasar utama kerajaan PH kerana sedar wujud pengangguran dalam kalangan belia dan golongan muda.
“Kerajaan sedar mengenai kadar pengangguran dalam kalangan belia dan golongan muda serta memahami akan kepentingan untuk memperkasa tenaga kerja dan bakat tempatan.
“Ianya juga harus melibatkan semua golongan masyarakat termasuklah mempertingkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
“Dalam era Internet of Things (IoT), portal JobsMalaysia versi 2.0 yang baharu, yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia telah menawarkan platform mencari pekerjaan yang lebih fleksibel kepada rakyat untuk meningkatkan penempatan pekerjaan dan mengurangkan ‘mismatch’ (ketidakpadanan).
“Rakyat juga boleh mendapat perkhidmatan JobsMalaysia melalui penganjuran karnival kerjaya yang diadakan secara
berkala dari semasa ke semasa,” katanya merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Para penjawat awam yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2019.Bertemakan ‘Pekerja Amanah, Aspirasi Negara’, lebih 5,000 pekerja terdiri daripada sektor perkhidmatan awam dan swasta hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, dan timbalannya, Datuk Mahfuz Omar.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedar akan kebimbangan rakyat berhubung kebanjiran pekerja asing di negara ini.
Jelasnya, kerajaan akan mengambil tindakan untuk memastikan pekerja asing hanya digajikan apabila mereka benar-benar diperlukan sahaja.
“Kita telah mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan hanya apabila mereka benar-benar diperlukan oleh sektor-sektor yang kurang sambutan pekerja tempatan seperti sektor jenis 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).
“Ingin saya tekankan bahawa dasar Kerajaan amat jelas bahawa keutamaan pekerjaan di Malaysia adalah kepada warga negara,” katanya lagi.
Untuk rekod, ini kali pertama sambutan hari pekerja sejak memerintah Putrajaya pada 9 Mei lalu. -MalaysiaGazette